Thursday, January 10, 2013

Jawatankuasa Status tentukan kemelut Norshahrul

Sumber: Metro Online
 
Kuala Lumpur: Liga Malaysia sudah bermula namun kontroversi perpindahan pemain masih belum reda. Paling mendapat perhatian isu perpindahan pemain paling bernilai kebangsaan tiga tahun berturut-turut, Norshahrul Idlan Talaha dari Kelantan ke Johor Darul Takzim FC (JDT) musim ini.
 
Soal bayaran tebus kontrak pemain itu mencetuskan ‘perang mulut’ orang kuat kedua-dua pasukan itu iaitu Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
 

Terbaru Annuar mempertikaikan tindakan Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo berhubung pampasan sejumlah RM250,000 kepada Kafa menerusi bank draf sedangkan beliau mendakwa penyerang kebangsaan itu perlu membayar RM318,500 berdasarkan jumlah gaji dan elaun rumah selama 13 bulan baki kontrak.

Sehingga kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan memberikan kenyataan jelas kerana mahu perkara ini diputuskan menerusi mesyuarat jawatankuasa Status yang bersidang hari ini.

“Biarlah pihak sepatutnya (Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan) menjelaskan perkara ini dengan lebih tepat. Kita tunggu saja keputusan status Mat Yo esok (hari ini),” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Takiyuddin pula seakan-akan ‘menyepikan diri’ apabila langsung tidak menjawab panggilan telefon pihak media untuk mengetahui perkembangan isu itu .

Selain isu bayaran, aksi Norshahrul bersama JDT pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang kelmarin menjadi tanda tanya apabila Annuar mendakwa pemain berusia 26 tahun itu tidak sepatutnya diturunkan kerana masalah sijil perpindahan yang belum selesai.

Turut dinantikan daripada hasil mesyuarat Jawatankuasa Status hari ini isu perebutan bekas pemain Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM).
PBATM sudah mendaftar Affize untuk beraksi bersama skuad Gladiators musim ini, namun PBSNT mendakwa Affize sepatutnya mewakili negeri kelahirannya mengikut peraturan FAM selepas bebas kontrak dengan Harimau Muda A.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...