Thursday, January 24, 2013

Kelantan alami sindrom


Sumber: Utusan Online


KOTA BHARU - Perubahan ketara juara treble musim lalu, The Red Warriors daripada sebuah pasukan yang mudah membaham lawan kepada pakar seri semakin merisaukan penyokong mereka dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sendiri, Tan Sri Annuar Musa.



Annuar menyifatkan pasukannya kini masih lagi dibuai kejayaan lalu atau pun ‘sindrom selepas menang’ menyebabkan aksi pasukan menjadi hambar meskipun di laman keramat mereka Stadium Sultan Muhammad IV.

Jika musim lalu Kelantan mudah membolosi gawang namun kali ini meskipun enam perlawanan telah dilalui tetapi hanya tiga jaringan yang berjaya diperolehi. Pada masa sama The Red Warriors ketinggalan enam mata dengan pendahulu Liga Super, Pahang.

“Ramai komentar yang cuba mengambil kesempatan dengan melemparkan tuduhan yang berbagai-bagai. Pada saya ini merupakan Post Victory Syndrome (sindrom selepas menang) dengan sikap pemain, keserasian pasukan serta rasa terlalu selesa dan banyak lagi.

“Ramai juga yang sudah mula bergembira dengan prestasi lemah kita dan sudah lama sesetengah pihak menunggu, tapi bagi saya ini hanya satu lagi cabaran.

“Tidak ada yang mudah. Kedah dulu treble sekarang jatuh ke liga bawah, Negeri Sembilan dulu juara kini tercorot, Terengganu dulu juara kini ke bawah, semua berdepan sindrom sesudah menang.

“Kita akan ambil ini sebagai cabaran, saya akan berbuat sesuatu dalam tempoh terdekat ini. Saya tahu tidak mudah, sebab itu kita mahu sahut cabaran, kalau mudah sudah tentu semua orang boleh buat," katanya melalui laman sosial Facebook miliknya ketika mengulas perlawanan menentang Negeri Sembilan kelmarin.

Perlawanan itu berkesudahan seri tanpa jaringan dan lebih mengecewakan kira-kira 5,000 yang hadir adalah The Red Warriors gagal menjelmakan biar satu pun peluang menjaringkan gol.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak juga terpaksa melakukan rombakan dalam kesebelasan utamanya selepas kehilangan khidmat dua penggempur mereka, Keita Mandjou yang mengalami kecederaan selain Norfarhan Muhammad juga yang belum cergas sepenuhnya untuk bermain 90 minit perlawanan.

Sementara itu, Hodak terus mengulangi alasan kehilangan empat tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Ghaddar, Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu yang menguatkan barisan kesebelasan musim lalu sebagi punca aksi hambar dipamerkan.

“Menentang sebuah pasukan seperti Negeri Sembilan bukan mudah, mereka meletakkan sembilan pemain di belakang dan memerlukan kita bermain lebih.

“Kita tidak mempunyai pemain sayap yang berkesan seperti tahun lalu.

“Kita ada pemain muda, Izuan (Solahuddin) masuk dan dia buat kelainan dan perlawanan nampak menarik tapi dia tidak bersedia selain Faiz (Subri) juga kembali pulih, saya harap dia boleh menampilkan kelainan pada perlawanan akan datang. Khairul Izuan bermain dengan baik tetapi masalah dia mentah, dia belum ada tahap keyakinan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...