Tuesday, January 1, 2013

Lampu limpah baru RM4 juta


Harian Metro

PERLAWANAN di tempat sendiri untuk pasukan Terengganu dan T-Team mungkin terpaksa berlangsung pada sebelah petang selama tiga bulan.

Kerajaan negeri akan memasang sistem lampu limpah baru menelan belanja hampir RM4 juta di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk disiapkan.



Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, masalah lampu limpah stadium perlu diselesaikan dengan sempurna supaya tidak timbul lagi keperluan melakukan kerja penambahbaikan setiap kali bermulanya musim baru.

Ahmad berkata, pada masa ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan 1,000 lux sebagai syarat minimum pencahayaan stadium dan ada kemungkinan peraturan itu berubah di masa hadapan.

“Lebih baik kita membina sistem pencahayaan baru yang boleh memberi kadar bacaan 1,400 lux supaya tidak perlu bersusah payah lagi di masa hadapan apabila syarat minimum pencahayaan stadium berubah.

“Sekiranya usaha membangunkan sistem baru itu menyebabkan perlawanan di tempat sendiri dua pasukan negeri ini berlangsung di waktu siang, kita terpaksa menerima hakikat itu demi kebaikan pada masa depan,” katanya.

Menurut pekeliling terbaru FAM, tahap pencahayaan minimum 1,000 lux akan dikekalkan hingga akhir musim 2014 manakala bacaan lux minimum musim 2015 akan dinaikkan kepada 1,200 lux.

Pekeliling sama juga menyatakan, tahap bacaan minimum bermula musim 2017 akan dinaikkan kepada 1,400 lux.

“Apabila tahap bacaan pencahayaan stadium sudah mencapai 1,400 lux, kita sudah tidak perlu risau lagi mengenai keputusan FAM untuk mengubah syarat minimum bacaan tahap pencahayaan,” katanya selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara Terengganu dan T-Team yang berkesudahan seri 2-2, kelmarin.

Ahmad turut meluahkan rasa puas hati terhadap persembahan Terengganu dan T-Team memandangkan kedua-dua pasukan masih dalam proses persediaan untuk memulakan saingan Liga Super pada 8 Januari ini.

“Masih banyak yang perlu dibaiki kedua-dua pasukan kerana persefahaman antara pemain masih di tahap rendah dan banyak juga kesilapan dilakukan.

“Namun, persembahan dipamerkan dapat memberi harapan kepada lebih 10,000 peminat di stadium yang mengharapkan dua pasukan itu berjaya dalam musim baru ini,” katanya.

Gol T-Team dijaringkan Abdul Latif Suhaimi pada minit ke-16 sebelum penyerang import, Caleb Folan menambah gol m-42.

Penyerang import Terengganu, Jean-Emmanuel Effa Owana menyudahkan tendangan penalti dua minit sebelum rehat dan bekas pemain Negeri Sembilan itu menambah gol kedua m-87.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...