Wednesday, January 9, 2013

LIGA SUPER 2013 - 8 JAN 2013 (Ulasan)

Sumber: Metro Online
 
Terengganu hampir terjerat di laman sendiri
 
TERENGGANU FA  1 - 1 KL FELDA UNITED FC
 
Kuala Terengganu: keghairahan Terengganu memburu kemenangan pertama di laman sendiri ketika bertemu Felda United hampir menjerat diri sebelum pemain tengah, Ismail Faruqi Ashari menjadi penyelamat tuan rumah apabila tendangan sudutnya terus menerjah jaring untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam. 
 
Telahan perlawanan yang pada mulanya dijangka tidak dihadiri ramai penonton kerana berlangsung pada sebelah petang nyata meleset kerana dihadiri hampir 10,000 penyokong untuk menyaksikan perlawanan terbabit. Sebelum itu, pada minit ke-52, penyerang lawan, Mohd Ghaddar melenyapkan sorakan penonton tuan rumah apabila bijak memperdaya tiga pertahanan Terengganu sebelum merembat ke kiri gawang, menewaskan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
 

Perlawanan itu juga sedikit tegang dan hampir mencetuskan pergaduhan antara penyerang tuan rumah, Farderin Kadir dan pemain lawan, Mohd Nizam, bagaimanapun insiden itu dapat dileraikan pengadil perlawanan, Kamal Ahmad.

Ismail Faruqi kemudian menjadi penyelamat skuad Penyu apabila sepakan sudut melencong masuk, menewaskan penjaga gol Felda, Mohd Helmi Eliza Alias pada minit ke-57.

“Saya tidak puas hati dengan corak dipamer pemain yang gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk menang biarpun kami menguasai perlawanan dengan asakan bertubi-tubi.

“Walaupun ini perlawanan pertama, saya sudah mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki untuk pertemuan dengan Negeri Sembilan di tempat lawan, selepas ini,” kata jurulatih Terengganu, E Elavarasan ketika ditemui selepas tamat perlawanan. Sementara itu, kem Felda United berpuas hati membawa pulang satu mata biarpun terlebih dulu menghasilkan jaringan.

Pengurus, Kamaruddin Mohamad berkata, matlamat pasukan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tercapai.

“Kami datang ke Kuala Terengganu tanpa harapan tinggi kerana Terengganu pasukan yang hebat dan sukar ditewaskan. Namun satu mata sudah cukup baik buat permulaan,” katanya.
 
 
Selangor mula langkah kanan
 
SELANGOR FA 1 - 0 NEGERI SEMBILAN FA
 
Shah Alam: Selangor memulakan langkah kanan pada perlawanan pertama saingan Liga Super apabila meraih tiga mata selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kedua-dua pasukan beraksi seimbang pada separuh masa pertama dengan Negeri Sembilan hampir di depan seawal minit ke-7, namun cubaan penyerang Emmanuel De Poras gagal menghasilkan gol. De Poras mempunyai peluang terbaik sekali lagi pada minit ke-23, tapi gagal melakukan rembatan selepas menerima hantaran cantik Eddy Helmi Manan.

Tersentak dengan asakan berterusan skuad bimbingan Divado Da Silva, Selangor menggandakan asakan dan cubaan terbaik Mahali Jasuli pada minit ke-30 berjaya dibaca penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Gandingan De Poras serta Eddy Helmi sekali lagi hampir menjaringkan gol seminit sebelum tamat babak pertama, tetapi De Poras gagal melakukan penyudah dengan baik.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan asakan awal dilakukan Negeri Sembilan, namun seperti babak pertama, mereka masih buntu mencari sentuhan penyudah.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim akhirnya memecah kebuntuan menerusi jaringan bekas pemain sayap Negeri Sembilan, S Kunanlan pada minit ke-68 selepas menerima hantaran cantik Mohd Amri Yahyah.

Beberapa cubaan menarik menerusi Mohd Amri serta awang import mereka, Francis Forkey Doe selepas itu bagaimanapun gagal untuk menambah gol.
 
 
Harimau Selatan longlai
 
PAHANG FA 3 - 2 JOHOR DARUL TAKZIM FC
 
Kuala Lumpur: Pahang mencalar imej pasukan berbelanja besar musim ini, Johor Darul Takzim FC selepas mencipta kebangkitan dengan kemenangan 3-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darulmakmur malam tadi.
Ternyata reputasi hebat barisan serba bintang pasukan Harimau Selatan itu seakan tidak memberi sebarang makna biarpun mereka membariskan bintang Sepanyol, Daniel Guiza, kapten kebangsaan, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya untuk menggempur kubu Pahang.

Beraksi di depan penyokong sendiri, Pahang yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh hampir di depan selepas penyerang import dari Macedonia, Nikolce Kleckarovski menolak masuk bola ke gawang pasukan pelawat pada minit ke-10.

Namun jaringan itu tidak disahkan pengadil kerana dia terlebih dulu mengasari penjaga gol Darul Takzim, Muhammad Al-Hafiz Hamzah yang cuba menangkap bola hantaran jauh pemain Pahang.

Ketika pemain skuad Tok Gajah sibuk mempersoalkan keputusan pengadil itu, pasukan pelawat melancarkan serangan pantas menerusi Guiza yang melakukan hantaran dan berjaya ditanduk Safiq untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Guiza yang membantu Sepanyol juara Euro 2008 sekali lagi menjadi penggerak serangan Darul Takzim apabila melorongkan bola kepada penyerang kebangsaan, Norshahrul yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Nasril Nourdin pada minit ke-26.

Ketinggalan 0-2, Pahang bangkit memburu gol dan usaha mereka berhasil apabila penyerang berusia 24 tahun, Mohd Fauzi Roslan meledak gol pada minit ke-50.

Terancam dengan kedudukan itu, skuad Harimau Selatan yang dibimbing bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad cuba menambah jaringan namun Safiq mensia-siakan peluang di depan gol selepas sepakannya melambung tinggi selepas mendapat umpanan Guiza pada minit ke-65.

Amukan Tok Gajah gagal dibendung pasukan pelawat apabila Fauzi bijak melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan lencong ke penjuru gawang untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-72.

Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, pemain baru Pahang, R Surendran yang beraksi bersama Selangor sebelum ini memastikan tiga mata penuh apabila menjaringkan gol kemenangan dengan menolak masuk bola di depan gol selepas mendapat hantaran silang Mohd Faizol Hussien dari sebelah kiri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...