Tuesday, January 8, 2013

Mahali tekad bantu Selangor raih piala

Sumber: Metro Online
 
Kuala Lumpur: Pemain pertahanan, Mahali Jasuli mengaku tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran Selangor kerana dia yakin pasukan Gergasi Merah itu akan kembali bangkit mencabar kejuaraan musim ini selepas dua tahun tanpa sebarang piala.
 
Bekas kapten Harimau Muda A yang berasal dari Selayang itu berkata, rombakan dilakukan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim dengan mempertaruhkan ramai pemain muda membuktikan kesungguhan mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

“Selangor ramai pemain muda yang bertenaga namun kami juga mempunyai beberapa pemain berpengalaman seperti Amri (Yahyah) yang boleh membimbing kami.

“Kalau boleh saya mahu meraih seberapa banyak piala bersama Selangor apatah lagi pasukan ini sudah dua tahun tidak memenangi sebarang piala. “Saya yakin dengan barisan pemain sedia ada, Selangor mampu mencabar,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas bebas kontrak dengan Harimau Muda A kerana sudah berusia 23 tahun, Mahali memilih untuk kembali ke pangkuan pasukan negeri kelahirannya.

Biarpun hanya tiga bulan menjalani latihan bersama Selangor selepas beraksi bersama skuad kebangsaan yang terkandas di separuh akhir Piala AFF awal bulan lalu, pemain pertahanan kanan yang gemar melakukan serangan itu mengaku sudah serasi dengan pasukan baru.

“Pemain Selangor bukan asing bagi saya kerana saya pernah bermain dengan mereka bersama Harimau Muda dan skuad kebangsaan seperti, Shukor Jusoh, K Gurusamy, Asraruddin (Putra Omar) dan juga Amri,” katanya yang menjadi tonggak skuad juara Piala AFF 2010.

Mengulas aksi pertama Selangor menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam ini, Mahali berkata : “Perlawanan ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan pasti mahukan kemenangan pada perlawanan pertama Liga Super ini. “Kami mahukan keputusan positif kerana selepas ini akan mengharungi perlawanan mencabar berdepan LionsXII dan Terengganu.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...