Wednesday, January 2, 2013

Marlon tiada dalam senarai ATM lawan Kelantan



KUALA LUMPUR - Ayam tambatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James hanya akan menjadi penonton apabila pasukannya turun menyaingi Kelantan dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah pada perlawanan Sumbangsih 2013, Sabtu ini.

Kecederaan betis yang dialami penyerang kelahiran St. Vincent & Grenadines ini sejak tiga minggu lalu, memaksa jurulatih B. Sathianathan merombak barisan serangan ATM yang turut cuba memperjudikan bekas penyerang Perak, Selangor dan Pahang, R. Surendren.


"Saya tidak boleh mengambil risiko untuk menurunkan Marlon lebih awal dari waktu sebenar dia pulih sepenuhnya. Kami kena ambil langkah lain dengan mencuba gandingan Hai-O (Hairuddin Omar) dan Surendren sebagai ganti dalam kesebelasan utama.

"Saya pun sudah melakukan eksperimen terhadap kemampuan mereka pada siri persahabatan pramusim kami (di Thailand dan tempatan)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam, menjelang pertembungan Si Soldadu-Wira Merah di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, menurut Sathianathan, Surendren didapati memerlukan sedikit masa dan beberapa perlawanan untuk mencapai tahap kecergasan bermain 90 minit memandangkan dia hanya kerap diletakkan sebagai simpanan oleh bekas pasukannya.

"Apabila lama tidak bermain dalam kesebelasan utama, inilah yang menyebabkan dia sukar mencapai tahap kecergasan yang tinggi tetapi saya perlu berikannya peluang untuk membuktikan kemampuan dalam perlawanan sebenar," katanya.

ATM menyertai kelompok elit Liga Super 2013 setelah menjuarai Liga Perdana musim lalu selain mencipta kejutan dengan nyaris menjulang Piala Malaysia setelah disekat Kelantan 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mengenai perlawanan yang disifatkan perhitungan balas dendam itu, kata Sathianathan: "Secara peribadi perlawanan Sumbangsih merupakan salah satu gelaran yang belum ada dalam koleksi saya.

"Sudah pastinya tanpa gelaran itu dalam karier kejurulatihan, menjadi motivasi tambahan untuk saya membawa ATM muncul juara baru."

Bekas jurulatih kebangsaan dari 2007 hingga 2009 ini juga bakal kembali berdepan Si Kijang yang pernah diterajuinya sehingga memenangi Piala Malaysia buat kali pertama, tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...