Wednesday, January 2, 2013

PFSLJ tetap tuntut perubahan besar FAM


Sumber: Metro Online

SAMA ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia untuk memberi maklum balas atau sebaliknya, kumpulan penyokong yang menggelarkan diri mereka ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)’ tetap tegas mahu perubahan besar-besaran dalam badan induk itu termasuk sekali lagi meminta Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, supaya berundur.

Sejak kali pertama PFSLJ membuat keputusan nekad meminta diadakan rombakan besar-besaran dalam FAM minggu lalu, tiada satupun penjelasan terperinci dikemukakan wakil badan induk itu dan kelmarin, Naib Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin turut enggan mengulas lanjut.



Jelas beliau, hanya Presiden dan Setiausaha Agung, Datuk Azzudin Ahmad berhak membuat kenyataan, sesuatu yang tidak sedikitpun melukakan hati kumpulan PFSLJ.

“Tidak kisah sama ada mereka (FAM) mahu membalas kenyataan kami atau sebaliknya tapi perkara utama yang kami ingin tekankan di sini ialah, kami mahukan perubahan besar dalam FAM.


“Jangan pula kata kami ada agenda lain dan hanya menyokong skuad negara bila menang.


“Ia menunjukkan kami sentiasa konsisten mahukan perubahan dalam FAM supaya mutu bola sepak tempatan lebih mahu, tidak kiralah pada saingan domestik atau antarabangsa,” kata Alfadli Awaluddin.

Jelas Alfaldi lagi, sekiranya FAM mahu memberi maklum balas, badan induk itu perlu memberi jawapan kukuh untuk menepis lima sebab utama yang digariskan PFSLJ sebelum ini mengapa FAM perlu dirombak.


Antara yang digariskan PFSLJ sebelum ini ialah liga profesional Gred D dan tidak berdaya saing, prestasi pasukan kebangsaan tiada hala tuju, sistem bola sepak yang tiada visi dan misi jelas serta pengurusan tidak cekap serta tiada akauntabiliti.

“Kami sedia mendengar maklum balas mereka. Sekiranya FAM berjaya meyakinkan kami yang rata-ratanya peminat setia bola sepak tempatan, sudah tentu kami menyokong mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...