Thursday, January 24, 2013

Rajagobal tagih anak buah beri impak positif


Sumber: Metro Online

Kuantan: Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mengharapkan keputusan positif bakal dijelmakan skuad kebangsaan selepas beliau menilai semua pasukan yang bakal ditemui pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

“Saya rasa kita mempunyai peluang sama rata dengan pasukan lain. Selepas melihat pasukan lain beraksi, saya pada dasarnya sudah mempunyai idea bagaimana untuk menangani cabaran mereka,” katanya yang baru saja pulang dari Bahrain bagi menilai perkembangan pasukan negara itu.



Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D itu yang turut dianggotai Qatar, Bahrain dan Yaman. Cabaran pertama skuad negara adalah pertemuan dengan Qatar pada 6 Februari.

Dalam pada itu Rajagobal yang ditemui selepas perlawanan antara Pahang dan Terengganu di Stadsium Darulmakmur, malam kelmarin, yang berkesudahan tuan rumah menang 3-0, mempertahankan keputusannya menyenaraikan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha untuk mengikuti latihan pusat dan pemilihan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia itu.

Beliau berkata, kehadiran dua penyerang itu penting berdasarkan pengalaman luas beraksi di peringkat tertinggi dan Piala Asia memerlukan khidmat pemain seperti mereka.

Namun beliau tidak sesekali meminggirkan pemain yang mempamerkan peningkatan dalam saingan Liga M kerana percaya kombinasi pemain lama dan baru akan membentuk pasukan lebih mantap.

“Persembahan kurang memuaskan pada masa ini bukan alasan untuk tidak memanggil mereka memperkuatkan Harimau Malaya. Pada masa sama, tahap Piala Asia lebih tinggi jika dibandingkan Piala AFF yang hanya membabitkan pasukan Asia Tenggara,” katanya.

Mengulas kehadirannya itu, beliau berkata, membuat pemantauan dan mengenal pasti pemain terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Kami akan beri peluang kepada pemain yang bagus untuk mengembangkan karier bersama skuad kebangsaan.

“Saya juga harap pemain yang dipanggil menunjukkan peningkatan dalam semua perlawanan Liga M.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...