Friday, January 11, 2013

Tak salah Tunku Ismail duduk di bangku pemain

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) duduk di bangku pemain simpanan semasa menyaksikan perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
 
Sumber: Utusan Online
 
PETALING JAYA - Tindakan kelab Johor Darul Takzim membenarkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim duduk di bangku simpanan pasukan ketika menentang Pahang di Kuantan dalam Liga Super 2013, Selasa lalu, tetap boleh diterima dan tidak menyalahi peraturan pertandingan Liga M.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kad pentauliahan sebagai ketua delegasi skuad Harimau Selatan turut telah dikeluarkan kepada Tunku Ismail oleh pihaknya, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang presiden persatuan negeri tidak layak berada di situ.
 
"(Berada di bangku simpanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu) boleh diterima. Kad penauliahan Liga M juga sudah dikeluarkan (kepadanya) sebagai ketua delegasi (Johor Darul Takzim)," kata Azzuddin pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.
 
Bagaimanapun, Johor Darul Takzim atau sebelumnya Johor FC tetap tidak terlepas daripada perhatian jawatankuasa itu yang mengarahkannya merundingkan penyelesaian tuntutan oleh bekas jurulatihnya, K. Devan dalam tempoh 30 hari atau jika gagal, terpaksa mendengar kes mereka semula.
 
Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak sekretariat FAM juga bersedia untuk menawarkan diri sebagai orang tengah dalam rundingan penyelesaian tersebut.
 
Bagi kes tuntutan gaji oleh jurulatih Robert Scully terhadap pasukan Pulau Pinang, kata beliau, keputusannya perlu bergantung kepada hasil mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM, tidak lama lagi.
 
Namun kata Takiyuddin, jawatankuasa terpaksa menolak kes tuntutan Jeremy Matthew Danker (kini mewakili Kuala Lumpur) yang gagal mematuhi arahan pihaknya supaya bekas pemain Sabah itu mengemukakan afidavitnya terhadap Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
 
Jawatankuasa juga katanya, mengarahkan pemotongan wang pendahuluan FAM buat Persatuan Bola Sepak Perlis yang gagal melunaskan tunggakan gaji bekas jurulatih dan pemainnya, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff dan Puvinderan Naidu selepas ahli gabungan itu masih tidak menjawab notis tuntutan penjelasan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...