Tuesday, January 1, 2013

Tiga rebut posisi penjaga gol Tok Gajah


Harian Metro

TIGA penjaga gol Pahang kini berebut untuk memikul tanggungjawab sebagai penjaga gol utama menghadapi saingan Liga M musim ini.

Mereka adalah Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Mohd Nasril Mat Nordin dan Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang kini menjadi tumpuan jurulatih, Dollah Salleh untuk menjaga gawang skuad Tok Gajah.



Rosfaizul Azuar yang hanya disenaraikan sebagai penjaga gol simpanan musim lalu berazam memastikan posisi itu menjadi miliknya.

“Saya kini berusaha meyakinkan jurulatih saya sedia memikul tanggungjawab besar itu selepas Wan Azraie Wan Muhd Teh yang juga penjaga utama musim lalu berhijrah ke Terengganu,” katanya.


Mohd Nasril yang mengalami kecederaan bahu kanan pada perlawanan persahabatan di Hong Kong baru-baru ini berharap sempat sembuh apabila saingan Liga Super bermula 8 Januari ini.


Pemain berusia 26 tahun itu berkata, biarpun kecederaan dialami tidak serius hingga memerlukan pembedahan, dia yang beralih angin ke Pahang musim 2013 mahu membuktikan keupayaan memikul tugas penting itu.

“Rasa sengal masih lagi terasa tapi berdasarkan pemeriksaan doktor, kecederaan ini sempat pulih apabila Pahang memulakan kempen bertemu Johor Darul Takzim. Saya mahu diturunkan dalam kesebelasan utama tapi terpulang kepada keputusan jurulatih.


“Saya yakin persaingan antara saya, Rosfaizul dan Khairul sihat demi kemantapan pasukan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul pula hanya menyerahkan keputusan siapa penjaga gawang utama kepada jurulatih dan yang penting adalah kejayaan Pahang musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...