Monday, March 11, 2013

Penyokong Jang protes Alves

Sumber: Metro Online
 
Seremban: Prestasi hambar skuad Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super mencetuskan rasa tidak puas segelintir penyokong pasukan itu apabila mereka mengadakan tindakan protes di luar Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, sebaik tamat perlawanan menentang FELDA United yang berkesudahan Negeri Sembilan tewas 0-1, malam kelmarin.

Kira-kira 15 orang penyokong tegar pasukan mengadakan protes secara aman dengan meminta jurulatih Divaldo Alves meletakkan jawatan serta merta.

Bagaimanapun tindakan mereka itu tidak menimbulkan kekacauan kerana pasukan keselamatan turut berada di lokasi dan mengawal keadaan sehingga mereka bersurai pada kira-kira jam 12.15 pagi semalam.

Jurucakap kumpulan Abdul Borhanuddin Ahmad, 34, berkata mereka tidak dapat menerima prestasi buruk skuad berkenaan sepanjang saingan liga setakat ini apabila gagal meraih kemenangan selepas melalui 10 perlawanan hingga meletakkan pasukan itu kekal di kedudukan tercorot.

Katanya, ini adalah pencapaian terburuk skuad Hoben Jang Hoben dalam tempoh 15 tahun dan walaupun saingan liga masih berjalan jelas agak sukar untuk bangkit memberikan saingan.

“Alves bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi hambar pasukan kerana ini adalah pencapaian terburuk dalam tempoh 15 tahun. Kami menggesa Alves meletakkan jawatan bagi memberi laluan pengurusan pasukan memilih jurulatih lain pula.

“Kami mahu pengurusan pasukan bertindak cepat melakukan perubahan ketika saingan liga sedang berlangsung bagi mengembalikan semula reputasi pasukan yang tercalar dan dapat membentuk kembali kekuatan pasukan untuk terus bersaing serta kekal dalam kelompok Liga Super, musim depan,” katanya.

Dalam aksi malam kelmarin, Razali Umar Kandasamy muncul wira FELDA United apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-40, untuk membolehkan skuad bimbingan K Devan itu ceria meraih tiga mata.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...