Saturday, April 6, 2013

Raja kena gantung 6 bulan?

SUMBER: METRO ONLINE
 
Kuala Lumpur: Hukuman berat digantung sehingga enam bulan bakal menanti ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal andai didapati bersalah meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mendakwa beliau atas kesalahan melanggar peraturan Artikel 88 Statut FAM.

FAM semalam membuat keputusan mengeluarkan surat pertuduhan kepada pengendali pasukan negara itu berdasarkan Artikel 18 dan bukannya Artikel 88 yang diputuskan sebelum ini.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dipengerusikan Datuk Taufek Abd Razak bulan lalu, Rajagobal didakwa melakukan kesalahan melanggar Artikel 88 kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M).


Berdasarkan Artikel 88 hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM berhak mengeluarkan kenyataan dan individu lain perlu meminta kebenaran terlebih dulu.

Bagaimanapun selaku ketua jurulatih, Rajagobal berhak membuat kenyataan mengenai pasukannya, namun beliau tetap didakwa menerusi Artikel 18 atas kesalahan mempersoal keputusan FAM menerusi kod 4.8.5 selepas kenyataannya disiarkan menerusi akhbar.

Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, selepas surat pertuduhan dihantar kepada Rajagobal semalam, ketua jurulatih itu mempunyai masa untuk menjawab pertuduhan hingga 12 April ini bagi membela diri.

FotoDatuk K Rajagobal
Sekiranya gagal dalam perbicaraannya, Rajagobal yang mempunyai kontrak dengan FAM hingga Disember ini boleh digantung enam bulan serta denda RM8,000.

“Surat pertuduhan kepada Rajagobal sudah dihantar hari ini (semalam). Beliau diberi hingga 12 April ini untuk menjawab surat pertuduhan itu. Beliau dituduh di bawah Artikel 18/3 FAM, Kod 4.8.5.

“Rajagobal tidak akan disiasat di bawah Artikel 88, namun sekiranya didapati bersalah, beliau bakal berdepan denda RM8,000 serta penggantungan enam bulan,” katanya.

Kes Rajagobal yang mula membimbing skuad negara pada 2009 tercetus apabila beliau mendakwa kehadiran pemain import Liga-M yang lebih mendapat tempat dalam pasukan utama menyebabkan negara ketandusan penyerang semula jadi.

Kenyataan beliau itu dibuat selepas menyaksikan anak buahnya tewas 1-4 di tangan Arab Saudi dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 17 Mac lalu.

Sementara itu mengenai kes membabitkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Ahmad Fuad berkata, FAM mungkin membuat keputusan mengenai hukuman yang bakal diumum Isnin ini.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat khas. Mungkin Isnin ini kita akan tentukan.” Tunku Ismail yang digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh FAM selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88 sebelum ini, dilapor berada di bangku simpanan skuad Johor Darul Takzim pada aksi menentang Terengganu pada 30 Mac lalu.

Bagaimanapun beliau sudah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden PBNJ kelmarin dan tugas itu kini disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...