Saturday, April 6, 2013

Sime Darby tak pandang rendah Pahang

SUMBER: SINAR HARIAN

JURULATIH Sime Darby, Ismail Zakaria tidak memandang rendah kemampuan Pahang meskipun pasukan itu bakal kehilangan tiga tonggak utama dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur malam ini.
Tetap menghormati pasukan bimbingan Dollah Salleh itu, Ismail ketika dihubungi menyifatkan Pahang harus diawasi kerana mereka mempunyai gaya tersendiri di samping merupakan pasukan terbaik dalam Liga Super.

“Kehilangan tiga tonggak utama tidak bermakna Pahang akan mudah ditewaskan... bagi saya mereka masih mempunyai barisan pemain yang mantap dan Dollah pasti mempunyai strategi tersendiri dalam perlawanan itu.

“Jadi, kami tidak boleh yakin kehilangan mereka akan memberi kelebihan kepada kami, apa yang penting pemain perlu memberikan yang terbaik dan berwaspada dengan Pahang,” kata Ismail kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas kelebihan buat pasukannya apabila persiapan Pahang sedikit terganggu berikutan kecederaan tiga tonggak yang mungkin tidak dapat diturunkan.

Tiga pemain itu ialah penjaga gol, Mohd Rosfaizul Azuar Ali dan Mohd Nasril Mat Nordin manakala Mohd Saiful Nizam Miswan (pertahanan).

Mengulas lanjut, Ismail tidak mahu anak buahnya mendabik dada ekoran masalah yang dihadapi oleh Pahang sebaliknya lebih bersedia dengan apa jua kemungkinan yang akan berlaku.

“Dalam bola sepak tiada apa yang mustahil dan Pahang mungkin mampu melakar kejutan terutama beraksi di tempat sendiri.

“Justeru, saya berharap pemain akan mengikuti segala perancangan yang dibuat dan mempamerkan aksi terbaik untuk mencatat kemenangan nanti,” ujar Ismail yang mahu anak buahnya mengekalkan momentum yang sama ketika beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Tambahnya, gol awal mungkin akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk memberikan tekanan kepada pasukan Pahang selain perlu menjaringkan lebih daripada dua gol serta mempertahankan gawang daripada dibolosi untuk menjamin bekalan selesa ketika beraksi di halaman sendiri nanti.

Pada masa yang sama, Ismail turut menjelaskan bahawa beliau kini sedang fokus untuk menyingkirkan Pahang terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan yang akan ditentang pada saingan separuh akhir nanti.

“Sama ada Selangor atau Johor Darul Takzim (JDT) yang akan kita jumpa di separuh akhir itu tak penting. Ini bukan masa yang sesuai untuk kita fikirkan perkara itu, apa yang penting kita perlu selesaikan perlawanan satu persatu,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...