Wednesday, April 3, 2013

‘Tindakan FAM amat pelik!’

Sumber: Harian Metro Online
 
Kuala Lumpur: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memeriksa dulu status kehadiran Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di bangku simpanan ketika perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Takzim (DT) dengan Terengganu Sabtu lalu dianggap pelik oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Kamaruddin Abdullah.

Kamaruddin berkata, tindakan Tunku Ismail yang kini menjalani hukuman gantung enam bulan daripada terbabit sebarang aktiviti bola sepak duduk di bangku simpanan pastinya atas kapasiti presiden dan bukannya sebagai Tengku Mahkota Johor.

“Saya tidak faham apa yang sebenarnya berlaku dalam FAM sekarang. Hanya orang tertentu seperti pemain, jurulatih dan pengurus pasukan dibenarkan duduk di bangku simpanan pemain.

“Kalau Tengku Mahkota, bukan di situ tempatnya. Kalau duduk di bangku simpanan pasukan, beliau (Tunku Ismail) sebahagian daripada pasukan dengan kapasiti sebagai Presiden PBNJ.

“Tindakan itu seperti mencabar keputusan dibuat Jawatankuasa Tatatertib. Dalam peruntukan ditetapkan, mesti ada hukuman tambahan perlu dikenakan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud mengenai kes itu yang bakal diserahkan kepada pegawai undang-undang FAM semalam.

Menurut Ahmad Fuad yang juga Komisioner Perlawanan pada malam itu, Tunku Ismail dianggap menyalahi peraturan andai berada di bangku simpanan atas kapasiti presiden dan jika hadir sebagai Tengku Mahkota Johor, perkara itu akan diserahkan kepada pegawai undang-undang untuk dinilai.

Tunku Ismail sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas digantung enam bulan kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM atas kesalahan mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) bulan lalu.

Sementara itu Kamaruddin turut mempertikaikan Ahmad Fuad yang bertugas sebagai Komisioner Perlawanan sedangkan beliau pegawai sekretariat FAM.

“Pihak sekretariat tidak boleh jadi Komisioner Perlawanan bagi sebarang perlawanan, baik tempatan mahupun antarabangsa.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...