Friday, May 10, 2013

Saingan Liga Super terbuka

Sumber: Harian Metro
 
Putrajaya: “Saingan merebut kejuaraan Liga Super dijangka berterusan sehingga perlawanan terakhir”.

Itu pandangan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai saingan liga elit negara yang masih berlangsung sengit walaupun berbaki tujuh perlawanan.

Namun seandainya situasi terbabit menjadi realiti menjelang perlawanan akhir pada awal Julai nanti, juara Liga Super 2013 akan menjulang piala terbabit di Wisma FAM, Kelana Jaya.

 
“Kebiasaannya memang kami mahu memberikan piala kejuaraan di stadium namun kami perlu melihat situasi ketika ini ada mana sekurang-kurangnya lima pasukan masih berpeluang muncul juara.

“Situasi berbeza pada tahun lalu apabila Kelantan sudah mengesahkan kejuaraan ketika saingan masih berbaki dua atau tiga perlawanan,” katanya selepas merasmikan pembukaan Restoran Umar Yusoff yang dimiliki pemain pertahanan kebangsaan dan Selangor Mohd Bunyamin Umar.

Kelab dari Singapura LionsXII kini mengungguli tangga teratas dan berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan pertama Liga Super dengan Angkatan Tentera Malaysia ketinggalan satu mata di kedudukan kedua dengan 30 mata, diikuti Selangor (25 mata), Johor DT (25 mata) diikuti Pahang dengan 24 mata.

“Saya jangkakan mungkin saingan sehingga ke saat akhir dengan dua atau tiga pasukan berebut menjadi juara berdasarkan senario awal liga sehingga ketika ini. Lima pasukan teratas masih berpeluang meraih kejuaraan.

“Andai kata berlaku, kami tidak boleh memberikan piala di stadium dengan mereka akan menjulangnya di Wisma FAM selepas beberapa mengesahkan kejuaraan bersama insentif wang tunai,” katanya.

Namun Hamidin menjelaskan, seandainya sudah terdapat pasukan mengesahkan kejuaraan sebelum perlawanan terakhir Liga Super, piala akan diberikan di stadium untuk diraikan bersama penyokong.

Insiden pemberian piala Liga Super pernah mencetuskan kontroversi apabila Kelantan yang mempertahankan kejuaraan pada 2012 awalnya dijadualkan menerima piala di Wisma FAM walaupun masih berbaki beberapa perlawanan namun selepas mempertimbangkan rayuan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), ia diubah dengan piala disampaikan kepada pemain di stadium selepas perlawanan terakhir liga.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...