Tuesday, June 18, 2013

Bergabung usul EGM!

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Desakan demi desakan dari pelbagai pihak menuntut pembaharuan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kuat dirasai badan induk bola sepak tanah air itu dan terbaru dua ahli gabungannya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) membuat usul agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAM diadakan dalam tempoh terdekat.

Kedua-dua ahli gabungan FAM itu tampil dengan usul itu selepas mengadakan mesyuarat agung masing-masing minggu lalu dan EGM itu boleh diadakan jika mendapat dua lagi persetujuan ahli daripada 19 ahli gabungan kesemuanya.

Menurut Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim, pihaknya akan menghantar surat kepada FAM untuk memaklumkan mengenai usul itu selepas Mesyuarat Agung KAFA menerima usul yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) Bachok.

“Kita boleh baca menerusi laporan akhbar banyak komen pelbagai pihak terhadap FAM, jadi dengan EGM ini kita boleh berbincang dan menyelesaikan apa saja isu yang dibangkitkan.

“Sekarang kita hanya perlu dua lagi persetujuan daripada ahli gabungan (untuk mengadakan EGM) namun prosedur selepas itu saya tidak begitu pasti sama ada keempat-keempat ahli gabungan ini perlu menulis surat kepada FAM ataupun tidak,” katanya.

Langkah KAFA itu turut dituruti PFA yang mahu FAM mengadakan EGM bagi mengembalikan semula badan induk itu ke landasan sebenar.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, PFA mahu EGM itu diadakan dengan kehadiran bekas Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa yang digantung kerana melanggar Artikel 88.

Ketika ditanya kemungkinan hasrat itu mungkin tidak kesampaian jika gagal mendapat sokongan ahli gabungan lain, Azman berkata: “Itu terpulang kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing. Kita hanya melakukan perkara ini mengikut prosedur yang betul.” FAM kini diasak dengan pelbagai isu termasuk yang terbaru ditimbulkan oleh Annuar mengenai perbelanjaan wang tajaan Astro sebanyak RM30 juta selama empat tahun oleh badan induk itu yang masih belum ada sebarang penjelasan.

Sebelum ini isu kegagalan pembayaran hak penyiaran setiap pasukan berjumlah RM15,000 bagi setiap perlawanan turut mendapat perhatian dan FAM hanya mula bertindak selepas perkara itu dibangkitkan oleh Tunku Ismail.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...