Friday, June 7, 2013

‘Buat malu saja...’

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup selama enam bulan mulai Oktober dengan kos dijangka mencecah jutaan ringgit.

Langkah itu bagi membolehkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjalankan kerja membina semula keseluruhan padang stadium yang sudah tidak menepati tahap dan keperluan peringkat antarabangsa.

“Keadaan padang memalukan kita apabila menerima kunjungan kelab ternama dunia seperti Barcelona dan Chelsea. Ini bukan padang kedua atau ketiga tapi padang utama. “Saya mahu ia ditutup selepas saingan Piala Malaysia dan semua acara yang sudah dijadualkan,” katanya selepas meninjau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.


Jelas Khairy, beliau menerima banyak maklum balas daripada peminat bolasepak negara mengenai keadaan padang yang digunakan untuk aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT) pada awal bulan ini.

“Ia bukan saja membabitkan reputasi kita di pentas antarabangsa namun kecederaan yang mungkin menimpa pemain yang menggunakannya.” Beliau turut menegaskan akan mengkaji semula kriteria dan syarat untuk acara yang tidak berkaitan dengan acara sukan apabila proses pembinaan padang yang dijangka siap pada April tahun depan kerana ia bakal merosakkan padang.

Mengulas lebih lanjut, Pengerusi PSM Datuk Jamil Salleh berkata, terdapat program sebelum ini yang menutup rumput selama lima hari menyebabkan kawasan rumput berkenaan mati.

“PSM akan berbincang selepas ini bagi memastikan Stadium Nasional hanya dibenarkan untuk aktiviti sukan yang berkaitan dengan kemudahan disediakan seperti bolasepak dan olahraga,” katanya yang menjelaskan pihaknya masih belum menentukan jenis rumput yang akan digunakan namun mereka tidak akan menggunakan rumput sintetik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...