Wednesday, June 26, 2013

FAM tolak rayuan Aidil

Sumber: Sinar Harian
 
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak rayuan pemain pertahanan Johor Darul Takzim (Johor DT), Aidil Zafuan yang dilayangkan kad merah ketika berdepan dengan Lions XII, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Ab Razak menjelaskan penolakan rayuan Aidil berdasarkan kesalahan di bawah Perkara 35.3(2) mengenai penggantungan secara automatik pemain yang dilayangkan dua kad kuning mahupun merah.

"Layangan kad kuning dan kad merah adalah keputusan pengadil. Mana-mana pemain dilayangkan dua kad kuning digantung satu perlawanan, namun bagi kad merah yang dilayangkan secara terus digantung dua perlawanan.

"Peraturan ini diguna pakai di mana-mana liga seluruh dunia, cuma masalah yang berlaku ada sesetengah liga penggantungan dua perlawanan tidak melibatkan perlawanan kalah mati.

"Namun dalam Kod Tatatertib FAM menjelaskan, mana-mana pemain yang bermain dalam Liga Malaysia seandainya dilayangkan dua kad kuning dan kad merah tidak boleh beraksi dalam saingan liga dan juga perlawanan kalah mati.

"Bagi kes Aidil ini ia jelas di mana keputusan diambil tertakluk di bawah Perkara 35.3(2) dan FAM mengambil keputusan menolak rayuan tersebut serta hukuman gantung dua perlawanan kekal," katanya.

Keputusan FAM tersebut menyebabkan Aidil bakal terlepas aksi akhir menentang Kelantan, Sabtu ini selepas dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan ke atas pemain Lions XII, Irwan Shah dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...