Friday, June 28, 2013

Hamidin sah Setiausaha Agung baru FAM

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Selepas timbul pelbagai spekulasi berhubung calon pengganti jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam Presiden, Sultan Ahmad Shah mengumumkan Datuk Hamidin Mohd Amin secara rasmi dilantik mengisi jawatan itu.

Tugas Hamidin yang mengambil jawatan itu daripada Datuk Azzuddin Ahmad kerana mengalas tugas baru dalam Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), akan bermula Isnin ini.


Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan perlantikan itu dalam satu sidang media khas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang berkata, keputusan itu dilakukan selepas berfikir panjang dan mengambil kira Hamidin sebagai calon paling sesuai.

“Saya sudah fikir panjang dan membuat keputusan Hamidin menggantikan tugas Azzuddin dan saya percaya kemampuan beliau berdasarkan hubungan baiknya dengan media.

“Justeru, Hamidin perlu melepaskan semua jawatan disandangnya iaitu Naib Presiden FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM serta jawatan dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS),” katanya.

Jawatan Setiausaha Agung FAM itu kosong selepas Azzuddin menerima tugas sebagai Setiausaha Agung AFF bermula 1 Julai ini bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel yang bersara awal akibat masalah kesihatan.

Dalam sidang media khas itu juga, beliau yang juga Presiden AFF mengumumkan pentadbiran AFF dengan pengurusan pengurusan FAM akan berpusat di Putrajaya selepas FAM mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk membina bangunan di atas tanah seluas lapan ekar. Katanya, tanah untuk mendirikan bangunan itu sudah dikenal pasti dan hanya menunggu masa untuk dibangunkan, bagaimanapun beliau perlu berbincang secara lebih terperinci dengan ahli gabungan FAM dan AFF terlebih dulu sebelum perancangan lanjut dilakukan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...