Friday, June 7, 2013

Harimau Malaya tewas tipis

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Penalti pada minit akhir masa kecederaan menyebabkan skuad Harimau Malaya tewas tipis 2-3 kepada Canberra FC dalam aksi persahabatan pertama pada siri lawatan ke Australia, semalam.

Sepakan penalti Philippe Bernabo gagal dihalang memastikan kemenangan dimiliki tuan rumah pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan berangin dan sejuk di Stadium Deakin.

Terdahulu barisan pemain negara dikejutkan dua gol lawan pada babak pertama yang turut menurunkan beberapa pemain jemputan dalam tempoh tujuh minit menerusi tandukan Alex Oloriegbe pada minit ke-28 dan Ryan Keir ke-34.


Tersentak dengan ledakan lawan berstatus kelab divisyen dua Australia itu, Raja gobal bertindak mengeluarkan 10 pemain yang beraksi di babak pertama dengan hanya pertahanan Johor Darul Takzim (DT), Mohd Aidil Zafuan Adha Abd Radzak meneruskan saingan.

Hasilnya pemain gantian, Safee Sali mencetuskan kebangkitan skuad negara dengan meledak gol pertama selepas menyempurnakan hantaran pemain tengah PKNS FC, Mohd Nazmi Faiz Mansor bagi merapatkan kedudukan m-61.

Penyerang Johor DT itu kemudiannya menjadi wira buat seketika apabila menjaringkan gol penyamaan ketika saingan berbaki lima minit namun ia tidak bertahan lama apabila lawan dihadiahkan sepakan penalti.

Skuad negara akan meneruskan perlawanan persahabatan menentang Sydney Olympic pada Selasa depan diikuti aksi Sydney United dua hari selepas itu bagi melengkapkan program latihan dan persahabatan yang dirancang Rajagobal.

Sementara itu ranking skuad negara kini di kedudukan ke-159 dunia, naik dua anak tangga dalam kedudukan terbaru yang diumum FIFA semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...