Thursday, June 6, 2013

Kehilangan besar ATM

Sumber: Harian Metro
 
Kota Bharu: Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan menganggap pemergian penolong jurulatih ATM Kamaruddin Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung kelmarin satu kehilangan besar kepada dunia bolasepak negara, khususnya pasukan ATM.

Sathianathan berkata, beliau akan berusaha merealisasikan harapan Kamaruddin yang sebelum ini mahu menjadikan ATM pasukan terbaik di negara ini.

“Beliau banyak memberi sumbangan dan membantu saya mengendalikan ATM. Dia bukan saja penolong jurulatih malah kawan karib dan saya banyak merujuk kepadanya untuk mengenali permainan lawan terutama pasukan Kelantan.
“Arwah seorang penolong jurulatih yang berdedikasi dan banyak memberi nasihat kepada pemain dengan menggunakan pengalaman yang luas dalam bola sepak.

“Kehilangannya satu kehilangan besar. Kita perlukan sedikit masa untuk mencari pengganti beliau,” katanya selepas majlis pengebumian Kamaruddin di Tanah Perkuburan Islam Panchor, semalam.

Kamaruddin meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira jam 6.30 petang kelmarin dan jenazahnya tiba di kediamannya di Kampung Panji, jam 8 pagi semalam.

Jenazah Kamaruddin selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Panchor kira-kira jam 9 pagi semalam dan majlis pengebumian itu turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Azman Ibrahim dan legenda bolasepak negara, Dali Omar.

Beliau meninggalkan seorang balu, Fatimah Mohd Zaman, 52 dan empat anak, Mohd Kahirul Fitri, 28, Mohd Fakhrul Fariz, 24, Mohd Fakhrul Faiz, 22 dan Fatin Amani,17.

Allahyarham Kamaruddin pernah menyarung jersi kebangsaan dan Kelantan pada tahun 1970-an dan pernah menjadi jurulatih Kelantan pada 1998.

Sementara itu, Fatimah berkata, sehari sebelum meninggal dunia, suaminya menyatakan hasrat untuk berehat di hospital selepas berasa tidak sihat.

“Suami saya tidak sempat memesan apa-apa sebelum menghembuskan nafas terakhir. Saya hanya sempat berjumpanya semalam (kelmarin) di hospital dan ketika itu beliau separuh sedar.

“Saya tidak tahu beliau mengidap sakit jantung sebelum ini. Saya hanya mengetahuinya selepas doktor mengesahkan suami menghadapi masalah jantung yang kritikal ketika menerima rawatan di PPUM, semalam (kelmarin),” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...