Tuesday, June 18, 2013

Liga-M diswasta 2015

Sumber: Utusan Malaysia
 
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih membuat kajian menyeluruh sebelum menjalankan penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) bermula tahun 2015.

Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, cadangan itu masih dalam peringkat kajian sebelum bersedia menswastakan Liga-M dibuat.

Menurutnya, hanya Liga Super dan Premier sahaja terlibat dalam dasar penswastaan tersebut pada tahun 2015, sementara saingan Liga FAM dan Piala Presiden kekal di bawah kendalian badan induk bola sepak negara itu.


"Bermula tahun 2015 semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier akan diurus tadbir oleh syarikat sendiri dan bukan lagi di bawah persatuan bola sepak negeri masing-masing. Ia merupakan kriteria utama yang ditetapkan oleh FAM bagi tujuan penswastaan liga domestik ini.

"Ketika ini sebuah jawatankuasa sedang melakukan kajian lebih terperinci dan segala butiran lanjut mengenai ketetapan dalam melaksanakan dasar ini akan diberitahu secara rasmi kepada semua persatuan bola sepak negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Ke-58 dan Ke-59 di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden KAFA, Datuk Ismail Md. Noor dan Datuk Rosmadi Ismail, Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim serta Penolong Bendahari, Mohd. Nasir Hamzah.

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan bola sepak negeri supaya berganding bahu dengan FAM bagi memastikan transformasi tersebut berjalan dengan lancar.

Afandi memberitahu, setakat ini Kelantan dilihat satu-satunya pasukan negeri yang melaksanakan dasar penswastaan apabila dikendalikan Theredwarriors.com Sdn. Bhd., sebuah entiti di bawah KAFA, bermula tahun ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden KAFA berkata, pihaknya akan mengemukakan usul yang dibangkitkan oleh ahli gabungan mereka pada mesyuarat tersebut untuk dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FAM pada 17 Ogos nanti.

"Empat agenda yang kita akan usulkan ialah pindaan terhadap Statut 88 FAM, prestasi semasa pasukan kebangsaan, punca Malaysia Super League (MSL) Sdn. Bhd. ditutup serta hala tuju Liga M selepas 10 tahun dilaksanakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...