Thursday, July 18, 2013

17 pengadil dikenakan tindakan

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Gara-gara gagal mengadili perlawanan dengan baik, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan ke atas 17 pengadil musim ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz, tindakan tegas terhadap pegawai pertandingan berkenaan diambil berdasarkan penilaian daripada pegawai penilai pengadil perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) sejak Januari hingga Jun lalu.



“Dalam 714 perlawanan musim ini, FAM menerima lima aduan rasmi saja berhubung mutu pengadilan Liga M. Daripada lima aduan itu, dua aduan dari Johor dan satu aduan masing-masing dari Perak, ATM dan Terengganu.

“Bagaimanapun hanya dua aduan saja berasas di mana empat pengadil itu telah diturunkan pangkat ke liga lain. Dua aduan itu membabitkan perlawanan Johor Darul Takzim dan Kelantan menentang Terengganu pada aksi separuh akhir Piala FA.

“Selain dari empat individu itu, 13 pengadil turut digantung berdasarkan laporan pegawai penilai pengadil sejak Januari sehingga Jun lalu,” katanya selepas Mesyuarat Eksekutif FAM ke-8 semalam.

Isu mutu pengadilan sering mendapat perhatian musim ini dengan beberapa rungutan disuarakan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melabel mutu pengadilan di negara ini masih di tahap amatur.

Selain Tunku Ismail, persatuan negeri dan kelab antaranya Perak dan Terengganu turut mengemukakan laporan rasmi mengenai mutu pengadilan dalam kempen Liga Super kepada FAM.

Perak tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil selepas seri 1-1 kepada Lions XII di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu manakala Terengganu mempertikaikan kredibiliti pengadil selepas melayangkan dua kad merah kepada Abdul Manaf Mamat dan Emmanuel Effa Owona pada aksi separuh akhir Piala FA, 28 Mei lalu.

Sementara itu, Astaman turut ditanya cadangan Persatuan pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mahu pengadil juga diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing kepada Jawatankuasa Integriti FAM selain pemain.

Beliau menyambut baik cadangan itu cuma beliau berpendapat pengisytiharan harta itu hanya membabitkan pengadil dan tidak termasuk ahli keluarga.

“Saya fikir undang-undang ini perlu dikenakan kepada pengadil dan ahli keluarga dikecualikan. Malah peraturan ini perlu diperhalusi kerana pengadil hanya bekerja secara sambilan dan mereka mempunyai pekerjaan lain seperti guru dan tentera jadi mereka juga ada terikat dengan garis panduan tertentu untuk mengisytiharkan harta mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...