Thursday, July 25, 2013

Igauan padang rumput tiruan

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Kelebihan padang rumput tiruan dimiliki juara Liga Super, LionsXII terus menghantui pasukan tempatan apabila saingan merebut piala berprestij kancah bola sepak tempatan, Piala Malaysia memulakan saingan pada 20 Ogos.

Stadium Jalan Besar yang menjadi gelanggang tuan rumah skuad kendalian V Sundramoorthy nyata kebal dan sukar digugat dalam saingan Liga Super musim ini apabila mereka mencatat 11 kemenangan daripada 12 perlawanan.




Situasi itu menyebabkan beberapa jurulatih tempatan mahu mengelak daripada berada dalam kumpulan sama dengan kelab dari Singapura itu ketika saingan merebut dua tempat teratas kumpulan untuk melangkah ke suku akhir kerana setiap perlawanan penting.

“Saya tidak takut tapi mahu mengelak daripada beraksi di padang rumput tiruan. Pemain tempatan tidak selesa bermain di padang itu walaupun kami menjalani latihan seminggu di sana, ia tidak akan mengubah keadaan,” kata jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan.


Bagaimanapun bekas pengendali kebangsaan itu mengaku anak buahnya perlu bersedia menentang mana-mana pasukan yang berada dalam Balang 1, LionsXII, Selangor, Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan ketika pasukannya berada dalam Balang 2 bersama Pahang, Perak dan PKNS FC.


“Kalau dilihat pada saingan Liga Super kami tidak mempunyai masalah apabila menentang empat pasukan teratas Liga Super, tapi kami banyak kehilangan mata apabila menentang pasukan bawahan seperti Negeri Sembilan hingga terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keenam,” katanya.

Sathianathan menjelaskan tidak perlu menjadi isu andai LionsXII memenangi Piala Malaysia musim ini kerana mereka pernah berkali-kali melakukannya suatu masa dulu, ditambah musim ini mereka menggunakan pemain kebangsaan sama ada senior atau pemain muda dan yang penting menurutnya mencari formula untuk mengatasi lawannya itu di atas padang.


Pandangan sama turut dikongsi pengendali Sime Darby FC Ismail Zakaria yang melihat LionsXII sebagai ancaman utama dan berharap trofi Piala Malaysia tidak berpindah ke Seberang Tambak selepas Liga Super menjadi milik mereka.

“Kalau boleh saya lebih gemar berada dalam satu kumpulan bersama Kelantan atau Johor DT berbanding LionsXII. Saya harap pasukan tempatan menjuarai Piala Malaysia musim ini.


“Bagaimanapun saya lihat kehadiran LionsXII dari aspek positif iaitu memberikan motivasi meningkatkan mutu bola sepak negara. Saya yakin ramai pemain tempatan juga tidak sabar beraksi dalam saingan Piala Malaysia bagi menyaingi mereka dan mempamerkan permainan terbaik kerana ia pentas terakhir untuk merebut kejuaraan selain memasarkan diri untuk musim depan,” katanya.


Sime Darby FC yang menamatkan saingan Liga Perdana sebagai naib juara diletakkan dalam Balang 3 bersama Terengganu, T-Team dan Sarawak manakala Balang 4 menampilkan Johor, Kedah serta dua pemenang aksi play-off, Negeri Sembilan dan Felda United.


Undian Piala Malaysia berlangsung Sabtu ini dengan empat pasukan bersaing dalam satu kumpulan secara timbal balik untuk menentukan lapan wakil ke suku akhir dengan aksi final dijadual pada 3 November.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...