Saturday, July 13, 2013

Kejohanan kelab FAM-FAS diperkenal

Sumber: Utusan Malaysia

PETALING JAYA - Mulai tahun ini, juara Piala FA bukan sahaja merasai ganjaran beraksi di Piala AFC, namun bakal diberikan ruang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berdepan juara dari Liga Singapura dalam pertandingan yang dipanggil kejohanan Kelab FAM-FAS.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Afandi Hamzah berkata, pertandingan ini adalah antara persefahaman yang telah dicapai dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam usaha peningkatan mutu bola sepak bagi kedua-dua negara bagi tempoh empat tahun akan datang.



Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mewakili Malaysia sementara cabaran Singapura didokong dua kelab, Tampines Rovers dan Warriors FC.

''Pada tahun ini, melalui jalinan kerjasama antara FAM dan FAS, satu pertandingan dinamakan kejohanan kelab FAM-FAS akan diperkenalkan dengan dua perlawanan melibatkan juara Liga Malaysia dan juara Liga Singapura iaitu antara juara Piala FA dan Piala Malaysia/Piala Singapura.

''Bagi tahun ini, juara akan diambil dari kejohanan tahun 2012 dengan Kelantan selaku juara Piala FA akan bertemu juara Liga Singapura iaitu Tampines Rovers, sementara satu lagi perlawanan melibatkan juara Piala Singapura, Warriors F.C dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengambil tempat Kelantan kerana merupakan juara.

''Perlawanan antara Kelantan dan Tampines akan berlangsung di Kota Bharu (Stadium Sultan Muhammad ke-IV) pada 12 Ogos manakala aksi ATM serta Warriors F.C akan diadakan di Singapura pada 13 Ogos," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, semalam.

Jadual perlawanan terbaharu itu pasti memberikan sedikit bebanan kepada pasukan Kelantan yang mempunyai enam pemain sedang menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan dan pada tarikh tersebut, mereka baru sahaja melalui pertemuan dengan Barcelona FC pada 10 Ogos ini yang hanya berselang dua hari.

Dalam perkembangan lain, aksi perlawanan akhir Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 26 Oktober terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada Sukan Paralimpik yang telah menempah penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil.

''Setelah berbincang dengan mendalam, tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia telah ditetapkan pada 3 November iaitu pada hari Ahad kerana pada Sabtu, 2 November jatuh pada hari perayaan Deepavali.

''Manakala tarikh bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia adalah pada 18 serta 19 Oktober dan 25/26 Oktober bagi memberikan laluan kepada siaran langsung," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...