Thursday, July 11, 2013

N Sembilan, FELDA layak Piala Malaysia

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Negeri Sembilan dan FELDA United memastikan tiket terakhir untuk melengkapkan 16 pasukan bersaing dalam kancah Piala Malaysia 2013 apabila menewaskan lawan masing-masing dalam aksi play-off yang berlangsung semalam.

Juara tiga kali Piala Malaysia, Negeri Sembilan mengenepikan Sabah dengan kemenangan 4-0 dalam aksi penentuan di Stadium Shah Alam sekali gus memastikan skuad Rusa berpeluang menebus maruah mereka selepas menamatkan saingan di tempat tercorot Liga Super musim ini dan bakal beraksi di Liga Perdana musim depan.



Pemain kebangsaan Nazrin Nawi mencetuskan keyakinan buat Negeri Sembilan apabila sepakan percuma pada minit ke-10 menggegar gawang lawan sebelum dia menggandakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas anak buah jurulatih Ridzuan Abu Shah dilihat lebih banyak mengawal perlawanan menentang lawan dari Liga Perdana itu.

Peluang terbaik Sabah untuk merapatkan kedudukan pada babak pertama melalui Zainizam Marjan pada minit ke-26 namun tandukannya sedikit tersasar sekali gus babak pertama beraksi dengan kedudukan 2-0 memihak kepada Negeri Sembilan.


Penyerang import Negeri Sembilan, Leandro Barbosa melengkapkan kemenangan bergaya bekas juara Piala Malaysia 1948, 2009 dan 2011 itu apabila rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-51 sebelum Nazrin memastikan hatrik dalam perlawanan itu menerusi kencang rembatan di luar kotak penalti ketika perlawanan berbaki enam minit.


Saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil pula menyaksikan FELDA United melangkah ke saingan Piala Malaysia dengan kemenangan 1-0, mengatasi Pos Malaysia hasil sepakan penalti Shafizam Hashim pada minit ke-64 sekali gus melegakan pasukan berstatus kelab itu yang dibayangi kecederaan sebahagian besar tonggak utamanya.

Majlis undian untuk menentukan kedudukan kumpulan dijangka diadakan pada 27 Julai dengan 10 pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan terbaik Liga Perdana mara secara automatik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...