Tuesday, July 30, 2013

Perlis ‘pancing’ Cikgu Jan

Sumber: Harian Metro

Kangar: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menawarkan gaji lumayan memancing bekas pemain dan jurulatih skuad kebangsaan Norizan Bakar sebagai jurulatih merangkap pengurus pasukan Singa Utara yang baru.

Naib Presiden PFA Azhar Ahmad berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik nama ‘Cikgu Jan’ itu bagi membawa cabaran Perlis musim depan selepas melakukan rombakan besar-besaran dalam PFA.


Katanya, setakat semalam, pihaknya ada berhubung dengan Norizan mengenai hasrat mereka yang sememangnya mahu anak tempatan mengisi kekosongan ditinggalkan ketua jurulatih Yunus Aliff.

Norizan yang berasal dari Kampung Datuk Kayaman, menjadi sasaran PFA selepas Presiden Datuk Rozabil Abd Rahman mahu pengurusan serta pemain Perlis terdiri daripada muka tempatan dan anak jati negeri itu.

“Bagaimanapun, tiada pertemuan atau kata putus rasmi sama ada daripada PFA mahupun Norizan mengenai tujuan itu, namun kami berhasrat mendapatkan khidmat beliau,” katanya.

Sumber dalaman PFA mendedahkan jika hasrat PFA menjadi kenyataan, Norizan bakal mendapat kebebasan membentuk pasukan. Namun keputusan itu masih terletak di tangan presiden.

Katanya, Norizan masih mempunyai kontrak bersama pasukan IPTA yang berakhir Disember ini.

“PFA akan berbincang dengan pihak IPTA berkenaan mengenai status kontrak selepas mendapat maklumbalas positif daripada Norizan yang akan ditawarkan secara rasmi selepas perbincangan dalaman PFA dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Norizan ketika dihubungi mengesahkan menerima tawaran itu namun enggan mendedahkan lebih lanjut termasuk jumlah gaji yang bakal diterimanya.

“Kami ada berbual tapi tidak secara rasmi. Saya masih belum mengetahui perincian tawaran yang diberikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...