Wednesday, July 17, 2013

Skuad Harimau Muda A tewas kepada Kanada 1-3

Sumber: SInar Harian & Bernama

KAZAN, (Rusia) - Skuad Harimau Muda A menutup tirai perlawanan temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27) dengan menduduki tempat kelapan selepas disingkirkan Kanada, dengan kekalahan 1-3.
    
Pada perlawanan penentuan klasifikasi ketujuh dan lapan di Stadium Trudovye Rezervy menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang, namun percubaan skuad Harimau Muda menerusi sepakan kapten pasukan Mohd Irfan Fazail di depan pintu gol pada minit ke-13 gagal disempurnakan.
    
Skuad Harimau Muda terus mengasak permainan dengan membuka jaringan pertama oleh D.Saarvindran di dalam kotak penalti pada minit ke-27.
    


Bagaimanapun Kanada menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti oleh  Marco Thomas Visintin pada minit ke-39 selepas pemain negara Reuben mengasari pemain lawan.
    
Tiga minit awal babak kedua perlawanan bermula menyaksikan Kanada menambah  gol kedua menerusi jaringan pemain Matthew Medoruma selepas menewaskan penjaga gol negara Mohd Farhan Abu Bakar.
   
Bagaimanapun percubaan Saiful Ridzuwan Selamat untuk menyamakan kedudukan gagal apabila sepakannya tersasar keluar daripada pintu gol lawan pada minit ke-72.
    
Kemudian pemain lawan Mario Kovacevic memberikan kedudukan selesa buat  Kanada dengan jaringan ketiga pada minit ke-82.
    
Secara keseluruhan prestasi skuad bola sepak universiti negara menunjukkan peningkatan apabila menghuni tempat kelapan daripada 15 pasukan yang mengambil bahagian sekali gus memperbaiki kedudukan edisi Universiade 2011 di Shenzen.
    
Pada Universiade 2011, Malaysia menduduki tempat ke-12 daripada penyertaan  16 pasukan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...