Friday, July 26, 2013

Tiada lagi aksi kelab - Hamidin

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Seperti mendengar suara pengkritik dan peminat, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berjanji akan memastikan tiada lagi aksi pemanas badan menentang pasukan berstatus kelab sepanjang 2014.

Sebaliknya, jelas beliau, FAM akan memberi lebih banyak tumpuan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa berkelas A.

Menurutnya, menentang pasukan berstatus kelab tidak begitu memberi impak untuk memperbaiki ranking skuad bola sepak negara yang semakin merudum.

"Kita akan cuba pastikan skuad kebangsaan tidak lagi bertemu dengan pasukan kelab selepas ini, jika ada pun... mungkin satu atau dua perlawanan, itu pun bergantung kepada kesesuaian.



"Sasaran utama saya adalah untuk memenuhi sembilan tarikh perlawanan persahabatan yang telah ditetapkan dalam kalendar FIFA.

"Kami akan bekerja keras untuk mendapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa biarpun tiada pengesahan daripada mana-mana pasukan setakat ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola perlawanan persahabatan Malaysia dan Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Sejak pengurus Harimau Malaya, Datuk Subahan Kamal dan jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal memilih perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab Divisyen 2 di Australia pada Jun lalu.

Ini menyebabkan ramai yang mempertikaikan hala tuju bola sepak negara yang kelihatan tiada inisiatif mengadakan aksi berkelas A.

Ini disusuli aksi persahabatan menentang kelab Thailand Chonburi F.C dan Chelsea baru-baru ini, sebelum ke Jepun menentang tiga kelab J-League minggu ini dan melengkapkan siri pertemuan dengan pasukan kelab dengan menentang Barcelona 10 Ogos ini.

Hamidin membuktikan dia tidak bercakap kosong apabila mengesahkan China akan menjadi lawan terbaru Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan akan berlangsung di Beijing, 10 September, sekali gus menjadi menjadi pengganti kepada aksi menentang India yang dibatalkan sebelum ini.

"FAM telah menghantar surat pelawaan kepada China dan mereka bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan yang dijadualkan pada 10 September ini.

"Kita akan beraksi di sana (Beijing) dengan semua perbelanjaan akan ditanggung oleh mereka sepenuhnya dan satu lagi tarikh iaitu pada 6 September, masih lagi kosong dan FAM masih dalam usaha mencari pasukan yang berminat.

"Hong Kong juga berada dalam radar kami, tetapi mereka telah mengesahkan pertemuan dengan Myanmar terlebih dahulu, jadi kami terpaksa mencari pasukan lain, besar kemungkinan dari kalangan negara Asia juga, " katanya.

Sebelum ini, India menarik diri lebih awal untuk bertemu Harimau Malaya kerana terlibat dengan Piala SAFF yang ditunda dari Ogos kepada September sementara Uzbekistan perlu menghadapi playoff Piala Dunia 2014 berdepan Jordan pada tarikh tersebut.

Hanya pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 Oktober hampir pasti diadakan sebelum Malaysia dijadualkan bertemu Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015, pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...