Tuesday, August 27, 2013

Bangun gergasi merah!

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Selepas berputih mata dalam dua aksi pertama, Selangor tiada pilihan selain bangkit melakar kemenangan ke atas Sime Darby FC hari ini bagi memastikan mereka tidak tercicir jauh dalam perebutan tempat ke suku akhir dalam Kumpulan A Piala Malaysia.

Pasukan juara 32 kali itu terperosok di tangga terbawah kumpulan selepas gagal mencatat sebarang kemenangan sekali gus memberikan tekanan kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang diletakkan sebagai pasukan pilihan kejohanan.


Bagi kapten Selangor Mohd Asraruddin Putra Omar, mereka perlu segera memperbaiki kedudukan dengan mengutip mata maksimum dalam dua perlawanan dengan Sime Darby sebelum kejohanan dihentikan lebih dua minggu bagi memberi laluan kepada kejohanan Pestabola Merdeka dan tugasan antarabangsa skuad kebangsaan.

“Kami sekarang berada di tangga terbawah kumpulan dan kami tiada pilihan selain menang baki dua perlawanan sebelum kejohanan berehat. Tekanan memang ada kerana kami tiap-tiap tahun layak ke suku akhir dan selepas dua perlawanan kami hanya mengumpul satu mata saja.

“Kali ini jelas pasukan lain benar-benar fokus kepada Piala Malaysia jadi kami perlu segera bangkit jika tidak akan jauh ketinggalan dalam saingan peringkat kumpulan ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Bagaimanapun pemain pertahanan kebangsaan itu sedar pertemuan dengan Sime Darby menjanjikan ujian mencabar buat skuad Red Giants memandangkan pasukan Liga Perdana itu berjaya mengejutkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-3 pada aksi pembukaan minggu lalu.

Dengan aksi longgar pertahanan Selangor ketika tumpas kepada ATM 2-3 di Shah Alam Sabtu lalu, Asraruddin yang menyambut hari jadi ke-25 kelmarin menggesa rakan sepasukan mempamerkan permainan lebih baik terutama dalam mengekang penjaring terbanyak Liga Perdana Karlo Primorac.

“Kami tidak pernah bertemu dengan Sime Darby tahun ini tapi saya tahu mereka mempunyai pemain yang bagus terutama penyerang import Primorac. Sime Darby boleh menjaringkan empat gol ke atas ATM dan ini bermakna mereka memiliki bahagian serangan yang hebat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...