Tuesday, August 27, 2013

Laksana ujian doping setiap perlawanan!

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mencadangkan ujian doping dilakukan ke atas pemain bola sepak pada setiap perlawanan dan tidak hanya tertumpu ketika final sesuatu kejohanan bagi memastikan pemain bebas daripada bahan terlarang termasuk penyalahgunaan dadah.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) berkata, selepas timbul kontroversi penyalahgunaan dadah oleh seorang pemain simpanan Kelantan ketika perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini, pihak berkaitan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan tidak melakukan ujian doping secara rambang, sebaliknya menyeluruh.



Katanya, secara peribadi, beliau beranggapan FAM perlu menguatkuasakan ujian doping secara menyeluruh kepada semua pemain dengan serta-merta bagi mengelak lebih ramai pemain bola sepak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Melihat kepada insiden yang berlaku, FAM wajib melakukan ujian doping secara menyeluruh dan bukan secara rambang bagi mengesan pemain yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.


“Selepas apa yang berlaku, kita tidak boleh menunggu dan mengambil masa lama untuk melaksanakan peraturan ini. Ia harus bermula dari sekarang,” katanya.


Sebelum ini akhbar melaporkan, seorang pemain simpanan Kelantan didakwa terbabit dengan penyalahgunaan dadah selepas gagal ujian doping pada perlawanan akhir Piala FA ketika menentang Johor Darul Takzim 29 Jun lalu.

Bagaimanapun, pemain berkenaan menafikan dakwaan itu sebaliknya mengakui hanya mengambil makan tambahan (supplement).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...