Monday, August 26, 2013

Safee akhiri kemarau gol

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Safee Sali yang tampak suram sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) bagaikan 'hidup kembali' selepas muncul penyelamat maruah Johor Darul Takzim (DT) apabila jaringan tunggalnya membolehkan tuan rumah menewaskan FELDA United 1-0 pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Larkin, kelmarin.

Sebaik perlawanan bermula, pemain pernah digelar 'Super Sali' itu menunjukkan kerja kerasnya yang akhirnya membuahkan hasil ketika perlawanan menghampiri penghujung. Penyerang kebangsaan itu muncul wira buat skuad Harimau Selatan selepas bola umpanan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-74 disambar Safee yang pantas merembat leret, menewaskan penjaga gol FELDA United, Mohd Helmi Eliza Elias.



“Sebaik Jasazrin mengumpan bola itu, saya tidak memikir panjang sebaliknya nekad merembat biarpun pada masa diasak pertahanan lawan dan melihat bola itu menerjah ke jaring memberikan kepuasan kepada saya kerana dapat menebus kehampaan selepas agak lama kemarau gol.

“Jaringan itu memberi keyakinan kepada saya dan penting bagi membantu kami mengharungi kempen Piala Malaysia, malah saya ingin memastikan momentum itu berterusan untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada Arena Metro, kelmarin.

Beliau juga menganggap gol itu sebagai permulaan positif buat dirinya bagi menambah keyakinannya untuk menentang T-Team di Kuala Terengganu, malam esok. Safee juga mahu mengulangi jaringan yang diciptanya ketika menewaskan pasukan kelab dari Pantai Timur itu 2-1 pada aksi Liga Super, 17 Mei lalu.

Bagaimanapun aksi membabitkan Johor DT-FELDA United dicemari dengan mutu pengadilan rendah apabila insiden pada minit ke-44 mengundang rasa kurang puas hati barisan kejurulatihan Johor DT yang mempertikaikan keputusan pengadil, Mohd Zamzaidi Katimin.

Mohd Zamzaidi sepatutnya bertindak lebih bijak dengan memberi 'advantage' kepada pasukan Johor DT dan tidak memberhentikan perlawanan walaupun ketika itu Norshahrul Idlan Talaha dikasari Azmizi Azmi kerana bola sudah berada dalam kawalan pemain tuan rumah dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.

Kegagalan Mohd Zamzaidi mengawal perlawanan dengan baik nyata mengundang rasa kurang senang pengendali Harimau Selatan, Azmi Mohamed yang mengesahkan untuk menghantar surat aduan secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...