Monday, August 5, 2013

Siapa presiden baru PBSNT?

Sumber: Harian Metro

Kuala Terengganu: Calon presiden baru Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) masih menjadi tanda tanya.

Yang pasti, Datuk Che Mat Jusoh yang sudah 15 tahun menerajui persatuan sudah memilih untuk tidak lagi bertanding jawatan presiden pada Kongres PBSNT 14 September ini. Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT) Mohamed Sekanther Abdul Hamid, hasrat Che Mat mengundur diri sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan enam persatuan daerah yang kini perlu mencari tokoh bola sepak baru untuk membimbing persatuan negeri.



“Kami tidak terkejut kerana desas-desus pengunduran beliau sudah lama didengar dalam kalangan penggiat dan peminat bola sepak negeri ini.

“Kami perlu teliti secara terperinci senarai calon yang layak mengambil tampuk kepimpinan dan memastikan pemimpin terpilih dapat meneruskan kecemerlangan bola sepak negeri ke tahap lebih tinggi lagi,” katanya.


Sekanther yang turut mengurus pasukan bola sepak PBSDKT, T-Team, berkata antara nama disebut-sebut sebagai pengganti termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman (PBSDK) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Rozi Mamat.


“Ada beberapa nama lain turut dicadangkan namun sebagai Presiden PBSDKT, saya meyakini keupayaan dua nama yang saya sebutkan itu dan besar kemungkinan mereka bakal menjadi pilihan perwakilan persatuan daerah ini.

“Begitu juga dengan kekosongan timbalan presiden yang kami jangka turut menjadi rebutan kerana penyandang jawatan, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof meletak jawatan baru-baru ini untuk memberi laluan kepada pemimpin baru lebih berkaliber,” katanya.


Shaikh Tajuddin dari Besut, Terengganu, mengesahkan tindakannya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas sebagai Setiausaha Agung persatuan.

“Saya harap semua pihak faham hasrat mengundurkan diri selepas hampir 10 tahun bersama bola sepak Terengganu dan sekiranya kepakaran saya masih diperlukan, mungkin saya boleh berkhidmat atas kapasiti lain pula,” katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu Abdullah Sulong, menyambut baik hasrat presiden dan timbalan presiden PBSNT untuk tidak lagi memegang jawatan.


“Kami berterima kasih kepada mereka atas sumbangan diberikan selama ini namun masanya sudah tiba untuk persatuan dikemudi juragan baru yang mungkin boleh mengembalikan zaman kegemilangan negeri ini.


“Sejak beberapa tahun lalu, banyak usaha dilakukan peminat untuk merombak struktur kepimpinan PBSNT termasuk gesaan presiden meletak jawatan dan saya harap semua itu tercapai dalam kongres bulan depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...