Friday, August 2, 2013

‘Talian hayat’

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Kesuntukan masa mencari pengganti sesuai dianggap sebagai penyelamat Datuk K Rajagobal yang bernasib baik kerana masih diberikan ‘talian hayat’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ketua jurulatih meskipun badan induk tanah air itu kecewa dengan prestasi buruk Harimau Malaya ketika ini.

Berbekalkan hanya dua kemenangan dan satu seri daripada 13 perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Asia 2015 tahun ini, termasuk yang terbaru tiga kekalahan berturut-turut ketika menentang kelab Jepun, membuktikan Rajagobal gagal memenuhi pencapaian disasarkan FAM. Biarpun FAM tidak membuat keputusan mengejut pada Mesyuarat Teknikal dan Pembangunan semalam, kedudukan Rajagobal tetap dalam bahaya kerana mereka akan mencari calon sesuai untuk menggantikannya jika prestasi skuad kebangsaan masih tidak berubah. “Kalau kita lihat berdasarkan merit, memang tidak memihak kepada beliau (Rajagobal), tapi dalam masa terdekat ini sukar untuk kita mencari penggantinya. Kalau kita nak tukar, kita mesti cari pengganti yang lebih baik. Bukan soal kita nak gugur tapi kita perlukan masa untuk cari pengganti dan kita tak mahu terburu-buru kerana kelayakan Piala Asia pada Oktober semakin dekat,” kata Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.



Tegasnya FAM kini serius mencari jurulatih baru biarpun Rajagobal yang mula menjadi ketua jurulatih pada 2009 masih diberikan peluang untuk meneruskan misi layak ke Piala Asia 2015.

“Kita tetap akan mencari jurulatih yang boleh menjanjikan kejayaan pada masa terdekat,” kata Tengku Abdullah.

Tiga kekalahan kepada kelab Jepun Shimizu S Pulse (0-2), Shonan Bellmare (0-5) dan Tokyo Verdy (0-5) baru-baru ini menjadi kemuncak kemarahan pelbagai pihak yang mempersoalkan kemampuan Rajagobal untuk terus membimbing Harimau Malaya. Sehubungan itu, Tengku Abdullah memberi amaran supaya tiada lagi persembahan buruk dipamerkan skuad kebangsaan meskipun ia hanya aksi persahabatan.

“Memang hampa dengan keputusan itu, mereka perlu sedar pentingnya mentaliti menang. Pasukan ini perlu bangkit segera,” katanya.

Rajagobal yang mempunyai kontrak sehingga Disember ini pulang dari Jepun semalam dan akan meneruskan persiapan skuad kebangsaan menghadapi Barcelona, 10 Ogos ini dan Kelayakan Piala Asia dengan Bahrain pada Oktober.

Tengku Abdullah menegaskan skuad Harimau Malaya selepas ini perlu memberi keutamaan kepada aksi kelas A menentang skuad kebangsaan berbanding kelab bagi memperbaiki ranking negara yang kini di tangga ke-159 dunia. Menurutnya, bagi baki tahun ini skuad kebangsaan akan menentang Grenada pada 6 September, China (10 September), Emiriah Arab Bersatu (9 Oktober), Bahrain (15 Oktober), Bosnia (10 November), Bahrain (15 November) dan Qatar (19 November).

“Untuk tahun depan ada sembilan perlawanan dalam kalendar FIFA dan kita mahu menentang pasukan di ranking lebih baik, saya berharap kita boleh perbaiki ranking sekurang-kurang di atas kedudukan 130 dunia,” katanya.

Dalam pada itu Tengku Abdullah turut mengumumkan mereka kini sedang mencari calon yang sesuai bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal dan Pengarah Pembangunan dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...