Monday, September 23, 2013

FAM lega tiada laporan insiden

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik nafas lega semua aksi getir lapan perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia malam kelmarin berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini walaupun kebanyakan stadium dipenuhi puluhan ribu penyokong.

“Sehingga kini tiada sebarang laporan yang saya terima...semuanya berjalan lancar, syabas saya ucapkan kepada semua pasukan yang bertanding,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) semalam.



Tujuh pasukan -ATM, Sime Darby FC, Johor Darul Takzim, Kelantan, Pahang, Sarawak dan LionsXII mengesahkan kemaraan ke suku akhir untuk mengiringi PKNS FC yang sudah mengesahkan tempat sebelum ini.

“Bagaimanapun kita sedar aksi suku akhir lebih getir. Jadi saya berharap semua pasukan terutamanya tuan rumah mampu meningkatkan tahap keselamatan. FAM melihat empat perlawanan suku akhir adalah berisiko tinggi tanpa mengira pasukan mana yang bertanding.


“Jadi seperti kebiasaannya kami akan melakukan pemantauan agar semua pasukan dapat memenuhi prosedur yang ditetapkan dan tidak mengambil ringan,” katanya.


Namun tumpuan suku akhir pastinya terarah kepada pertemuan juara bertahan Kelantan menentang Johor DT yang dijangka panas manakala LionsXII akan menentang ATM, Pahang menentang PKNS dan Sime Darby menanti kunjungan Sarawak.

Sementara itu menurut Hamidin terdapat perubahan jadual untuk saingan suku akhir pertama apabila Pahang menentang PKNS akan berlangsung pada Jumaat manakala tiga lagi perlawanan pada Sabtu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...