Saturday, September 28, 2013

Impak Conti

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Penyerang import Pahang Matias Conti membuktikan sentuhan berbisanya apabila mencatat hatrik ketika membantu pasukannya menang 3-2 ke atas PKNS FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Namun, kemenangan itu belum menjamin skuad kendalian Dollah Salleh untuk mara ke separuh akhir apabila kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua 4 Oktober ini.



Pada perlawanan di Kuantan itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi Conti yang menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd Remezey Che Ros seawal minit pertama perlawanan.

Gol itu berpunca daripada lorongan R Gopinathan dalam keadaan kelam kabut di kotak penalti yang menyaksikan Conti meletakkan skuad Tok Gajah di depan.


Pada minit ke -20, sepakan percuma pemain tengah Pahang, Azidan Sarudin hampir menerjah gawang lawan tetapi Remezey berjaya menepis bola keluar.


Tujuh minit kemudian, Damion Stewart berjaya membolosi gawang lawan tetapi jaringan itu tidak disahkan kerana pemain import itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Namun, PKNS yang jarang melakukan asakan ke kubu tuan rumah menyamakan kedudukan 1-1 apabila Patrick Wleh Ronaldinho menanduk kemas sepakan percuma Mohd Fauzan Dzulkifli pada minit ke-36.


Belum sempat Pahang mengatur gerak, pemain tengah PKNS, Mohd Lot Abu Hassan meletakkan mendahului 2-1 apabila menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang menyaksikan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik selepas rehat, Pahang tidak menunggu lama menyamakan kedudukan 2-2 apabila tandukan Conti yang menerima hantaran R Surendran, menerjah ke jaring pada minit ke-51.


Minit ke-57, kegagalan Remezey menangkap kemas tendangan Mohd Amirul Hadi Zainal membolehkan Conti, penyerang berasal dari Argentina, menjaringkan gol ketiga peribadinya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...