Monday, September 9, 2013

Kelab gantung pemain tanpa alasan

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Tindakan pengurusan sebuah pasukan Liga Super mencetuskan tanda-tanya apabila menggantung seorang pemainnya sejak dua bulan lalu tanpa sebarang makluman rasmi terhadap masa depannya.

Malah difahamkan hingga kini bekas pemain kebangsaan itu tidak lagi dibenarkan mewakili pasukan dalam kancah Piala Malaysia.

“Pemain itu tidak tahu berapa lama akan digantung tidak bertali. Tiada makluman diberikan pengurusan dan punca sebenar juga masih belum dijelaskan kepada pemain itu walaupun difahamkan pengurusan mahu membuat siasatan dalaman atas alasan tidak menunjukkan semangat kesukanan,” menurut sumber yang enggan dikenali.

Selain tidak dibenarkan beraksi mewakili pasukan, pemain itu turut tidak dibenarkan menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain.



Menurut sumber itu lagi, hingga kini tiada surat rasmi mengenai tempoh penggantungan dan jenis kesalahan dilakukan pemain terbabit.


Sementara itu Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain yang dimaksudkan itu boleh memanjangkan tindakan persatuan kepada badan induk itu bagi membolehkan siasatan atau tindakan lanjut dijalankan.

Insiden membabitkan pemain tidak mempamerkan semangat kesukanan mendapat tumpuan sejak kebelakangan ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan Datuk Taufek Abd Razak pada Rabu lalu buat kali pertama menggunakan akta Perkara 35.1 Kod Tatatertib untuk mensabitkan pemain yang didakwa tidak mempunyai semangat kesukanan.


Pertahanan Kuala Lumpur Hafizie Roslee menjadi mangsa pertama apabila digantung enam bulan, denda RM2,000 serta amaran keras selain tidak boleh membuat rayuan selepas didapati bersalah tidak mempunyai semangat kesukanan apabila sengaja menendang bola ke arah pemain lawan sehingga menyebabkan gawang pasukannya dibolosi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...