Tuesday, September 24, 2013

Penyu rombak besar-besaran

Sumber: Harian Metro

Kuala Terengganu: Kecewa selepas gagal mendakap sebarang piala musim ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal melakukan rombakan besar-besaran membabitkan pemain dan jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Selain itu, perubahan itu juga disebabkan pasukan yang digelar Penyu itu terperosok di tangga kesembilan liga daripada 12 pasukan berbanding kedudukan kelima musim lalu.



“Selepas pucuk pimpinan tertinggi Terengganu berubah, barisan pemain dan jurulatih skuad juga akan berubah wajah dengan pengguguran beberapa pemain yang gagal mempamerkan aksi terbaik selain pertukaran pengendali pasukan.

“Ini proses biasa dalam sesebuah pasukan menjelang musim baru dan kami mengharapkan perubahan ini memberi manfaat kepada Terengganu musim depan,” kata sumber persatuan.

Justeru hari ini, semua pemain dan jurulatih akan menghadiri mesyuarat dalaman bersama PBSNT bagi mengetahui nasib mereka, termasuk E Elavarasan yang mempunyai kontrak sehingga November ini, sama ada bakal dikekalkan atau sebaliknya. Arena difahamkan sembilan pemain bakal digugurkan manakala beberapa pemain utama juga dikatakan meminta pelepasan untuk beraksi dengan pasukan lain. Bagaimanapun, nama besar seperti Mohd Ashari Shamsuddin yang kini diintai Johor Darul Takzim (DT) dengan tawaran lumayan, Abdu Manaf Mamat, Hasmizan Kamarodin, Ismail Faruqi Ashari, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ahmad Nordin Alias dan penjaga gol Shamirza Yusof dijangka kekal bersama skuad itu musim depan.

Namun, apa yang menarik jurulatih PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim dikatakan bakal pulang membimbing semula pasukan Penyu.

Malah difahamkan, jurulatih kelahiran Terengganu itu pada dasarnya sudah bersetuju membimbing skuad musim depan walaupun dikatakan masih dalam peringkat perbincangan.

“Sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, kepulangan Abdul Rahman bagaikan sirih pulang ke gagang dan tepat pada masanya selepas Terengganu gagal membawa pulang sebarang piala musim ini,” kata sumber.

Abdul Rahman pernah membimbing Terengganu pada 1998 dan Perlis 2006 sehingga membawa pasukan itu muncul juara Piala Malaysia selain mengendalikan kelab Indonesia, Deltras Sidoarjo.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...