Sunday, September 1, 2013

T-Team jinakkan Johor DT

Penyerang Johor DT, Safee Sali (kiri) merembat bola sambil dihalang pemain pertahanan T-Team, Md Hassan Basri pada perlawanan Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. T-Team menang 2-1. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Pusingan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia mencatatkan pelbagai keputusan mengejut dengan banyak pasukan gergasi tumbang antaranya T-Team yang menewaskan skuad berstatus bintang, Johor Darul Takzim 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Walaupun penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menembusi pertahanan kubu pertahanan The Titans dengan menggelecek dua pemain untuk gol Johor DT pada minit ke-44, cerita sebaliknya berlaku pada separuh masa kedua.

Selepas jaringan penyamaan daripada Abdul Latif Suhaimi pada minit ke-80, bekas pemain Hull City, George Boateng membuktikan pengalamannya begitu berharga buat T-Team dengan tandukan jaringan kemenangan pada masa kecederaan sekali gus memastikan persaingan dalam Kumpulan B kembali terbuka.

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Felda United merencatkan perjalanan gemilang PKNS dengan kemenangan 1-0 menerusi jaringan pemain dari Congo, Nsumbu Mazuwa pada minit ke-40 yang juga tiga mata pertama buat skuad The Settlers.

Juara 32 kali, Selangor semakin hampir mengucapkan selamat tinggal buat saingan Piala Malaysia apabila sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby di Stadium Shah Alam. Walaupun Francis Forkey Doe meletakkan Red Giants di hadapan pada minit ke-45, Karlo Primorac memberikan satu mata berharga buat Sime Darby dengan jaringan penyamaan pada minit ke-79.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih kemenangan kedua apabila membenam pasukan dari Liga Perdana, Johor 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Gol daripada Bruno Martelotto meletakkan ATM di hadapan 1-0 pada minit ke-41 dan penjaring terbanyak Liga Super, Marlon Alex James menambah gol kedua dan Johor merapatkan kedudukan melalui Muhd. Alif Mohd. Yusof.

Namun, dua jaringan dalam tempoh tiga minit pada masa terakhir permainan oleh Christie Jayaseelan dan Venice Elphi Danny Kaya memberikan kemenangan selesa kepada ATM untuk menjadi pendahulu baru Kumpulan A.

Sarawak mengutip tiga mata dengan penuh bergaya selepas membenam Kedah 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching melalui jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-55 manakala Muamer Salibasic menyumbang gol kedua minit ke-62.

Kerapuhan pertahanan Kedah membolehkan pasukan tuan rumah terus berpesta gol pada minit ke-74 dan 78 melalui penyerang berbisa, Bobby Gonzales.

Negeri Sembilan muncul pendahulu baharu Kumpulan C apabila mengejutkan juara bertahan Kelantan, 3-2 di kubu kuat The Red Warriors, Stadium Sultan Muhammad IV dengan kemenangan 3-2 apabila penyerang import Brazil, Fabio Leandro Barbosa, meledak dua gol pada minit ke-58 dan 78 buat Negeri Sembilan.

S. Sivanesan mengejutkan puluhan ribu penyokong setia Kelantan dengan gol pada minit ke-13, namun Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-37 dan Ahmad Fakri Saarani memberi kelebihan sementara buat tuan rumah pada minit ke-48 sebelum Fabio Leandrao muncul wira skuad Hoben Jang Hoben.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Mohd. Khairul Ramadan muncul wira skuad Penyu dengan jaringan pada masa kecederaan bagi membolehkan Terengganu terus bernyawa dalam saingan Piala Malaysia dengan kemenangan 2-1 ke atas Pahang dengan Emmanuel Effa Owona meletakkan tuan rumah di hadapan terlebih dahulu pada minit ke-62 sebelum disamakan pemain Pahang, Azamuddin Mohd.Akil pada minit ke-68.

Lions XII kembali menghidupkan peluang mereka untuk ke suku akhir apabila mengecapi kemenangan pertama dengan menewaskan pendahulu Kumpulan D, Perak, 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura dengan keputusan kontroversi pengadil membatalkan jaringan penyamaan penyerang Perak, Paulo Rangel.

Ketua pasukan Lions XII, Hariss Harun membuka tirai jaringan pada minit ke-61, namun dapat disamakan oleh Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa lima minit kemudian sebelum Safuwan Baharudin memastikan tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah dengan gol kemenangan pada minit ke-84.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...