Monday, October 7, 2013

‘Cari stadium lebih besar’

Foto

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Kelantan pada 18 Oktober ini mungkin berlangsung di stadium yang mempunyai kapasiti lebih besar.

Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mempunyai kapasiti 16,000 penonton sememangnya menjadi gelanggang tuan rumah buat Gladiators musim ini namun ia mungkin mengundang pelbagai masalah terutamanya membabitkan limpahan penonton dan aspek keselamatan kerana kedua-dua pasukan dilihat mempunyai jumlah penyokong ramai.



Malah Presiden Persatuan Bolasepak ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sudah mengarahkan setiausaha persatuan berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai kemungkinan itu selepas kejayaan ATM menumbangkan juara Liga Super, LionsXII di suku akhir pada Jumaat lalu kerana melihat Kelantan atau Johor Darul Takzim (DT) turut mempunyai jumlah penyokong ramai.

“Kami tidak mempunyai masalah beraksi di stadium lain namun ia bergantung kepada kelulusan FAM,” kata jurulatih B Sathianathan yang juga pengurus ATM.

Stadium Shah Alam dilihat pilihan terbaik untuk perlawanan berkenaan kerana ia mempunyai kapasiti sehingga 80,000 penyokong selain sudah tiada pasukan lain menggunakannya selepas PKNS FC turut tersingkir pada suku akhir Piala Malaysia, Jumaat lalu.


Pertemuan kedua-dua pasukan itu ibarat ulangan final Piala Malaysia tahun lalu dengan Kelantan menewaskan ATM 3-2 namun Sathianathan tetap meramalkan perlawanan sengit bakal berlangsung bagi menentukan pasukan mana berhak melangkah ke final kali ini.

ATM melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan LionsXII dengan agregat 4-2 manakala Kelantan yang juga juara bertahan bangkit selepas tewas 2-4 pada suku akhir pertama untuk membelasah Johor DT di Kota Bharu dengan keputusan 6-1 dan mara dengan agregat 8-5.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...