Tuesday, October 22, 2013

‘Dua gol belum cukup’

Foto
AZAMUDDIN Akil (kiri) meraikan jaringan pertamanya ketika menentang Sarawak.

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Kelebihan dua gol belum memberi jaminan kepada Pahang untuk beraksi di final Piala Malaysia musim ini.

Kapten Pahang Jalaluddin Jaafar mengharapkan prestasi cemerlang di Stadium Darulmakmur dibawa pada aksi separuh akhir kedua ke Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.



Menurutnya, kemenangan 3-1 pada aksi pertama tidak seharusnya membuatkan pasukan berasa terlalu selesa kerana perjuangan sebenar masih belum berakhir.

“Sepanjang sesi latihan ini, saya harap segala perancangan jurulatih Dollah Salleh dapat dilaksanakan dengan sempurna untuk menunaikan impian beraksi di final.

“Saya dapat rasakan Sarawak akan berjuang habis-habisan untuk memastikan mereka mengisi slot terakhir itu.


“Tapi kelebihan dimiliki dan prestasi terbaik dipersembahkan Sabtu lalu tidak mustahil diulangi, sekali gus menyekat hasrat lawan,” katanya.

Jalaluddin yang belum pernah menjulang Piala Malaysia sejak menyarung jersi Pahang pada 1997 berkata, segalanya kini bergantung kepada persembahan yang bakal diterjemahkan di gelanggang lawan.

Menurutnya, dia tidak mahu memikirkan pemain ke-12 pihak lawan iaitu penyokong Ngap Sayop sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian baki 90 minit perlawanan.

“Saya harap barisan pertahanan akan bertahan manakala bahagian tengah dan serangan mampu memikul tugas penting bagi menjaringkan gol.

“Saya percaya jika segalanya dilaksana mengikut arahan ditetapkan, kami mampu melangkah ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 1997.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...