Wednesday, October 30, 2013

Perlis mungkin tarik diri beraksi di Liga Perdana

Sumber: Harian Metro

Kangar: Skuad Singa Utara terus dirundung malang apabila kemungkinan terpaksa menarik diri daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Ini kerana Perlis tidak layak mendaftar ekoran keengganan kerajaan negeri menjadi penjamin dana kewangan mereka. 

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman mengesahkan keengganan kerajaan negeri menandatangani borang jaminan kewangan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). 


“Borang berkenaan perlu diserahkan kepada FAM dan ia sebagai bukti persatuan mempunyai sokongan kewangan selain daripada penajaan sendiri.

“Beberapa penaja sudah menyatakan hasrat mereka untuk menaja PFA bagi musim 2014 namun enggan terbabit dengan tunggakan hutang sebanyak RM1.8 juta musim lalu.

“Adalah hari yang malang buat bola sepak Perlis yang pernah muncul juara Piala Malaysia terpaksa menarik diri daripada saingan Liga M 2014,” katanya.

Rozabil berkata, beliau sudah berjumpa dan menyerahkan surat permohonan kepada Menteri Besar Azlan Man pada hari penamaan calon Pilihanraya Kecil, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah tempoh hari bagi merayu agar kerajaan negeri menjadi penjamin kepada PFA.

“Namun beliau enggan dengan alasan tidak mempunyai peruntukan dan tiada wang untuk disalurkan bagi membantu pasukan bola sepak Perlis.

“Sebelum ini kerajaan negeri di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menyerahkan peruntukan sebanyak RM800,000 kepada PFA bagi membantu mengatasi masalah kewangan ketika itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...