Wednesday, November 27, 2013

Jibrail terpaksa lupakan aksi Liga Super

Sumber: Harian Metro
 
Ipoh: Penjaga gol ketiga Perak, Mohd Jibrail Kamaron Baharin terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam kancah Liga Super 2014 apabila dipinjamkan kepada pasukan Piala FAM, Yayasan Bina Upaya (YBU).

Pengurus Liga Super Perak, Datuk Azhar Ahmad berkata, peminjaman Jibrail dilakukan bertujuan menyelamatkan kerjaya pemain itu kerana Perak memiliki empat penjaga gol ketika ini.

 
“Demi kebaikannya sendiri kami pinjamkan Jibrail kepada YBU.

Kehadirannya akan memanfaatkan pasukan itu dalam kempen Piala FAM,” katanya ketika mengumumkan senarai skuad Liga Super Perak di pejabatnya semalam.

Menurut Azhar, Perak mengambil dua penjaga gol baru Razi Effendi Suhit dari PKNS dan Mohd Nor Haziq Aris (UiTM).

Selain itu dua penjaga gol Piala Presiden, Hafizul Hakim dan Mohd Syazani juga akan menjalani latihan bersama skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu nanti.

Dengan tinggal hanya satu lagi kouta awang import, Azhar berkata, skuad Liga Super Perak 2014 sudah 99 peratus siap.

“Kita hanya hendak cari seorang tenaga import saja lagi kerana sudah ada Martin Kafando dan Kyaw Zayar Win,” katanya Menurut Azhar, skuad Liga Super Perak mempunyai tujuh pemain skuad musim lalu yang akan menjadi kerangka pasukan.

Mereka ialah Mohd Nasir Basharuddin, M Yoganathan, Mohd Haizal Faquan Sadarudin, Mohd Nazri Kamal, Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa, Mohd Syazwan Roslan dan Mohd Hishamuddin Shaari.

Manakala selebihnya adalah muka baru serta pemain daripada skuad Piala Presiden yang dinaikkan ke pasukan utama kali ini.

Pemain Piala Presiden adalah Mohd Syamil Khairi, J Partiban, Mohd Ridzuan Azly Hussham dan Ahmad Syukri Abdul Hamid.

Manakala muka-muka baru adalah bekas penyerang Harimau Malaya, Shahrizal Saad serta pemain Negeri Sembilan, Mohd Azmeer Yusof.

Azhar berkata, turut mendapat kepercayaan ialah bekas pemain tengah kebangsaan, Muhammad Hardi Jaafar serta Mohd Norhizwan Hassan(UiTM) , Mohd Idris Ahmad (PDRM), Mohd Hidayat Amaruddin (UiTM), Mohd Fazli Zulkifli (Felda) dan Muhd Tuah Iskandar Jamaluddin (JDT).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...