Friday, November 8, 2013

Perak bakal miliki skuad mantap

Sumber: Utusan Malaysia
 
IPOH - Kapten skuad Myanmar yang muncul naib juara Kejohanan Pestabola Merdeka di Kuantan, September lalu, Kyaw Zayar Win serta pemain antarabangsa Syria dan Ghana bakal mengisi kuota import skuad Perak untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengurus baharu skuad Seladang, Datuk Azhar Ahmad berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang mengadakan rundingan dengan ejen pemain tersebut sebelum menandatangani kontrak.
 

Azhar, yang menggantikan Khairul Azwan Harun berkata, Perak juga sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain Pahang, Hafiz Kamal.

Menurut Azhar, jika semuanya berjalan lancar, mereka merupakan antara pemain yang bakal memantapkan skuad Perak yang kehilangan lebih daripada separuh pemainnya menyertai pasukan lain.

"Hafiz merupakan pemain kelahiran Perak dan kita sedang mengadakan rundingan dengan majikannya untuk membawa dia beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya.

"Selain pemain import, skuad Perak akan menggunakan khidmat pemain skuad Piala Presiden, juga pemain kelahiran Perak yang akan dipilih melalui sesi pemilihan terbuka yang sedang dijalankan sekarang.

"Kita mahukan khidmat pemain anak negeri yang 'ada jiwa dan ada rasa kasih kepada Perak' demi memastikan prestasi pasukan sentiasa pada tahap terbaik," katanya kepada pemberita pada sesi pemilihan terbuka pemain di Stadium Perak di sini, semalam.

Sementara itu, walaupun skuad Seladang terpalit dengan dakwaan rasuah baru-baru ini, ia langsung tidak menjejaskan minat pemain untuk mewakili skuad Perak.

Malah, sesi pemilihan terbuka selama tiga hari yang bermula kelmarin mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 200 orang mencuba nasib pada hari pertama manakala 300 lagi hadir semalam.

Sebelum ini, PAFA mengumumkan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias dan Abdul Hadi Yahya antara 12 pemain yang meninggalkan skuad itu.
Lain-lain pemain utama yang mencari haluan baharu termasuk ketua pasukan, Shahrulnizam Mustafa dan S. Chanturu.

Dua import mereka, Paulo Rangel dan Rafael Souza juga tidak lagi bersama skuad Seladang dan hanya 10 pemain daripada skuad musim ini dikekalkan.

PAFA juga mengumumkan bekas pemain Perak, Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menamatkan kontrak lebih awal bersama Perak, baru-baru ini.
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...