Tuesday, November 19, 2013

Rajagobal ada idea jerat Qatar

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Sedar Qatar bukanlah lawan yang mudah untuk dijinakkan, pengendali skuad Harimau Malaya Datuk K Rajagobal akan menerapkan corak taktikal berbeza apabila bertemu lawan mereka itu pada kempen kelayakan Piala Asia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selepas gagal meraih tiga mata ketika bertemu Bahrain pada perlawanan terakhir, Rajagobal tidak mahu cerita sama berulang apabila bertemu Qatar dan atas faktor itu, beliau sedia untuk mengubah corak taktikal anak buahnya.



“Selain menukar corak taktikal, kita akan turun dengan keyakinan dan keberanian yang tinggi. Saya tahu pemain sudah cukup bersedia dan ini adalah petanda baik kepada pasukan.

“Yang pasti kita akan bermain habis-habisan bagi memastikan dapat meraih keputusan yang bagus,” katanya pada sidang media semalam.

Rajagobal berharap anak buahnya dapat menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri.


“Kita kena sentiasa bersikap positif dan jangan takut dengan status lawan. Saya lihat walaupun kita kalah sebelum ini, pemain sudah mempamerkan persembahan yang baik,” katanya.

Beliau juga tidak mahu ambil pusing dengan beberapa bintang yang membarisi skuad Qatar, antaranya termasuklah penyerang sensasi mereka iaitu Sebastian Soria.

“Tumpuan kita membabitkan keseluruhan pasukan, bukan individu,” katanya.

Sementara itu ketua jurulatih Qatar Fahad Thani berkata, beliau sudah mengetahui segala-galanya mengenai skuad negara dan anak buahnya cukup bersedia menentang Malaysia.

“Sejak kali terakhir bertemu Malaysia pada Mac lalu, skuad anda mempamerkan peningkatan yang cukup baik.

“Tapi kami juga hadir ke sini dengan misi untuk meraih tiga mata dan sudah pasti tidak akan memberikan laluan mudah kepada Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...