Wednesday, November 27, 2013

Wira Tok Gajah dapat RM30,000

Sumber: Utusan
 
KUANTAN - Seperti dijanjikan, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob semalam mengumumkan ganjaran wang tunai RM30,000 setiap seorang kepada seluruh pemain, pegawai termasuk pasukan sokongan skuad Tok Gajah ekoran kejayaan mereka memenangi Piala Malaysia 2013.

Adnan berkata, ganjaran wang tunai tersebut begitu berbaloi dengan semangat dan pengorbanan Pahang sehingga menjuarai piala berprestij itu.

 
"Jika dilihat kepada usaha gigih mereka, usaha itu sebenarnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

"Jadi, pemberian RM30,000, ini sebagai penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan gemilang itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Ramah Mesra Bersama Pasukan Bola Sepak Pahang di sini, semalam.

Yang turut berangkat, Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Ishak Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain.

Tidak ketinggalan, yang diraikan semua pemain skuad Tok Gajah, termasuk jurulatih, Dollah Salleh.

"Kalau menang lagi (musim hadapan) mungkin kita akan gandakan atau beri tiga kali ganda daripada jumlah ini," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kejayaan yang dikecapi oleh Pahang merupakan usaha Tengku Abdul Rahman yang tidak mengenal erti lelah dalam memajukan bola sepak Pahang.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada pemain dan pegawai Pahang," katanya.

Sementara itu, Tengku Abdul Rahman berkata, beliau yakin skuad Tok Gajah akan mempamerkan permainan terbaik pada musim akan datang.
Pahang menamatkan penantian 21 tahun apabila muncul juara Piala Malaysia dengan menumpaskan Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam, 3 November lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...