Friday, December 20, 2013

BOLA: Impian berkecai, harapan punah

Sumber: Harian Metro
 
Nay Pyi Taw: “Seperti majlis pengkebumian“.

Itu gambaran pengendali Bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee mengenai suasana bilik persalinan selepas kegagalan anak buahnya mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan SEA semalam.

Persiapan panjang bernilai jutaan ringgit lebur di tangan Indonesia apabila kecundang 3-4 menerusi penentuan sepakan penanti selepas tamat 120 minit perlawanan terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir.

 
“Bilik persalinan seperti majlis pengkebumian. Tiada siapa harus dipersalahkan terutamanya pemain, saya harus dipertanggungjawabkan kerana pemain sudah memberikan yang terbaik.

“Malang bagi kami kali ini kerana dulu (2011) mereka juga tewas menerusi penentuan sepakan penalti (juga 4-3 selepas terikat 1-1 tamat masa tambahan)“ katanya selepas perlawanan semalam. Tambah Kim Swee, persiapan mereka sebelum perlawanan terencat apabila pemain sayap kiri Ashri Chuchu mengalami kecederaan selepas kehilangan pertahanan kental K Rueben kerana penggantungan kad kuning.

Pertahanan kiri Nazirul Naim Che Hashim terpaksa diletakkan pada sayap kanan menggantikan Ashri dan sebelum kejohanan bermula Kim Swee sudah kehilangan tiga pemain sayap terbaik negara, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Syahrul Azwari Ibrahim.

Indonesia yang mempamerkan semangat juang tinggi terlebih dulu membuka jaringan di Stadium Zeyer Thiri pada minit ke-30 menerusi Bayu Gatra Sanggiawan.

Namun semangat juang pemain negara nyata tidak luntur apabila A Thamil Arasu meledak gol penyamaan m-85.

Penjaga gol Indonesia Kurnia Meiga Hermansyah muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti Thamil dan Shahrul Saad ketika Nazmi Faiz, Mohd Fadhli Shas dan Rozaimi Abd Rahman berjaya menyempurnakan tugas mereka.

“Lima pemain berkenaan yang terbaik dalam mengambil sepakan penalti ketika itu. Thamil dan Shahrul juga kerap mengambil sepakan penalti untuk pasukan.

“Kami tidak ditewaskan dengan mudah dan pemain membuktikannya di atas padang,” katanya yang dilantik sebagai pemangku skuad senior bermula tahun depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...