Thursday, December 26, 2013

Perlu tegas

Sumber: Harian Metro
 
Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sedia memberi kerjasama kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status Mohd Amirul Hadi Zainal yang kini bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Setiausaha Agung PBNP Fuzeimi Ibrahim berkata, pihaknya akan membantu FAM terutama dari segi kedudukan Amirul Hadi yang sebelum ini menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah.

 
Menurutnya, PBNP tidak menghadapi masalah bagi memastikan kes pemain tengah itu disiasat FAM segera sebelum saingan Liga Malaysia musim 2014 bermula.

“Dalam kes ini, kita sedia memberikan kerjasama kepada FAM demi kebaikan bola sepak terutama skuad Pahang.

Segala maklumat mengenai status Amirul Hadi akan diserahkan pada pertemuan itu nanti.

“PBNP akan menyediakan segala dokumen berkaitan pemain itu dan mahu keputusan yang adil,” katanya semalam.

Fuzeimi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan yang menuntut penjelasan daripada PBNP dan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) berhubung status bekas pemain kebangsaan itu.

Ini kerana tiada kepastian mengenai pasukan yang bakal diwakili pemain berusia 27 tahun itu selepas membuat pusingan U menyertai JDT musim depan.

Pada masa sama, PBNP mendakwa Amirul Hadi milik skuad Tok Gajah selepas pemain itu menandatangani kontrak tetapi segalanya berubah apabila dia menjalani latihan bersama JDT minggu lalu.

Amirul ketika diminta memberikan penjelasan cuba mengelak sedangkan pada sesi memperkenalkan pemain JDT Ahad lalu, dia turut sama berada bersama pemain lain.

FAM harus mengenakan tindakan tegas termasuk denda yang tinggi kepada kepada mana-mana pemain yang membuat pusingan U sekalipun pemain itu kembali ke pangkuan pasukan asal.

Dalam era profesional, pemain harus tahu tanggungjawab menghormati kontrak agar menjadi teladan kepada pemain lain.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...