Tuesday, December 24, 2013

Reduan puas hati prestasi anak buah

Sumber: Harian Metro
 
Kangar: Kejayaan 100 peratus direkodkan dalam empat perlawanan persahabatan termasuk mengatasi Harimau Muda B, menyuntik semangat jurulatih Reduan Abdullah untuk memastikan skuad Singa Utara tidak mengecewakan pada kempen Liga M 2014.

Begitupun, Reduan mengakui tidak boleh terlalu berbangga dengan pencapaian yang dicatat anak didiknya kerana ianya sekadar perlawanan persahabatan. 

 
“Kemenangan bersih 100 peratus dalam empat perlawanan persahabatan itu sememangnya sesuatu yang baik, namun kita tidak boleh menjadikannya sebagai ukuran kekuatan pasukan dan kelemahan pihak lawan.
“Masih banyak kerja rumah perlu dilakukan kerana banyak kelemahan dalam pasukan yang perlu ditangani sebelum mengharungi cabaran Liga Perdana Malaysia nanti,” katanya.

Dalam rangka persiapan pasukan itu, empat perlawanan persahabatan sudah diharungi skuad Singa Utara dengan terakhir, kelmarin menewaskan Sungai Ara FC dari Pulau Pinang 4-0 dalam perlawanan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau.

Pada perlawanan itu, penyerang import dari Argentina Gonzalo Goravano yang bergandingan dengan rakan importnya dari Maghribi Maurad Faris dan Dao Bakary (Ivory Coast) meledak empat jaringan dengan masing-masing dua gol di setiap babak.

Terdahulu, pada perlawanan menentang Harimau Muda B di Stadium Bukit Jalil, skuad itu menang 1-0 menerusi jaringan penalti, Dao Bakary. Dua lagi kemenangan yang dicatat ialah menewaskan skuad Kuala Lumpur, 2-1 dan Sungai Ara FC 2-0.

Perlis akan menentang T-Team (29 Disember); PKNS Selangor (4 Januari) dan Sime Darby (6 Januari) dengan semua perlawanan di Stadium UiTM Arau, Perlis.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...