Thursday, December 26, 2013

Tagih magis Kim Swee

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Biarpun gagal mencapai misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap menagih khidmat jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee yang bakal tamat kontrak pada 31 Disember ini.

Seperti ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Exco FAM pada 24 November lalu, kontrak pengendali berusia 43 tahun akan disambung dan dilantik sebagai ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan selepas kontrak Datuk K Rajagobal berakhir hujung bulan ini.

 
Bagaimanapun Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan perbincangan semula akan dilakukan bersama Kim Swee mengenai kontrak itu selepas jurulatih itu membayangkan mahu melepaskan tugas mengendalikan Harimau Muda bagi memberi laluan kepada jurulatih tempatan lain.

Dan beliau berkata, ada pelbagai 'kemungkinan' boleh terjadi sama ada Kim Swee akan terus membimbing skuad muda ataupun terus dinaikkan pangkat membimbing Harimau Malaya berdasarkan perbincangan selepas ini.

“Kami sudah memutuskan pada mesyuarat Exco sebelum ini bahawa kontrak Kim Swee selaku jurulatih Harimau Muda akan disambung. Dalam masa yang sama beliau juga akan ditugaskan sebagai jurulatih skuad kebangsaan sehingga kami dapat mencari pengganti Datuk K Rajagobal.

“Bagaimanapun selepas FAM mendapat ketua jurulatih asing, kami akan memutuskan sama ada beliau akan menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan ataupun memikul tugas menjaga skuad Harimau Muda A, B dan C. Ini kerana kami fikir tiga skuad Harimau Muda ini perlu diselaraskan menerusi pemantauan seorang jurulatih,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk Kim Swee diberikan tugas baru bersama Harimau Malaya, Hamidin secara ringkas berkata “ada kemungkinan”.

Kim Swee bekas pemain tengah kebangsaan dari Melaka dilantik menjadi jurulatih Harimau Muda A pada 2009 dan berjaya membimbing pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 dan Pestabola Merdeka September lalu.

Bagaimanapun kerana kecewa dengan pencapaian anak buahnya yang pulang dengan tangan kosong di Sukan SEA Myanmar, Kim Swee mengakui 'penat' untuk mengharungi kempen Sukan SEA pada edisi selepas ini.

“Mungkin beliau membuat kenyataan itu dalam keadaan kecewa, kita faham dengan kegagalan mempertahankan pingat emas tapi FAM masih memerlukan khidmatnya. Jadi kami akan mengadakan perbincangan semula sebaik beliau pulang bercuti,” kata Hamidin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...